Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abd Ghani Mohamed Yassin, menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2025) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16.
Abd Ghani menekankan bahawa peruntukan tambahan itu penting bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global dan krisis semasa termasuk konflik di Timur Tengah, tarif perdagangan global dan kesan berterusan pasca pandemik.
“Peruntukan tambahan ini bukan sahaja perlu disokong, malah mesti dilaksanakan dengan telus dan berdisiplin supaya manfaatnya benar-benar sampai ke kawasan luar bandar seperti Nabawan,” katanya.
Beliau turut menggariskan keperluan mendesak bagi menaiktaraf jalan-jalan bekas balak yang kini menjadi laluan utama penduduk kampung, serta pelaksanaan projek bekalan air alternatif seperti paip graviti dan telaga tiub.
Selain itu, beliau juga menggesa supaya isu bekalan elektrik yang masih belum menyeluruh di kawasan pedalaman diselesaikan dengan segera.
“Saya ingin tahu sama ada sebahagian daripada peruntukan tambahan ini dikhususkan untuk projek-projek rakyat yang tertangguh, seperti penyelenggaraan bangunan pentadbiran luar bandar, jalan-jalan kampung dan saliran sungai yang kerap menyebabkan banjir,” ujar beliau.
Beliau turut mencadangkan agar peruntukan tambahan ini digunakan untuk merancakkan ekonomi akar umbi melalui program pembangunan usahawan mikro dan Industri Kecil Sederhana (IKS), termasuk latihan kemahiran, bantuan modal dan pemasaran.
Beliau juga mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa pemantau di bawah Pejabat Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri untuk menilai keberkesanan pelaksanaan peruntukan tambahan secara berterusan.
“Saya mencadangkan supaya laporan pelaksanaan dan perbelanjaan ini didedahkan secara berkala kepada umum, ini penting bagi menambah keyakinan rakyat terhadap integriti pengurusan kewangan kerajaan negeri,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Abd Ghani turut menyeru semua pihak untuk terus berbudi dan berbakti kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), dengan semangat persaingan yang sihat.
