Esteel Sabah pergiat pelaburan Fasa I di SOGIP

Oleh: Sumayyah Rihanna

KOTA KINABALU: Esteel Enterprise Sabah Sdn. Bhd. memperkukuh kehadirannya di Sabah dengan melaksanakan beberapa langkah strategik dalam merealisasikan pelaburan berskala besar di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), termasuk memeterai perjanjian penting dan memulakan kerja-kerja fizikal di tapak projek.

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe memberitahu bahawa syarikat berkenaan telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap pelaburan jangka panjang melalui pemeteraian Perjanjian Penyewaan Tanah bagi Fasa 2 dan Fasa 3 di SOGIP pada 31 Disember 2024, diikuti dengan pembayaran deposit awal sebanyak RM35 juta.

“Pada Januari 2025, Esteel telah memperoleh Lesen Pengilangan (FML), manakala pada Februari 2025 pula, perjanjian bekalan gas asli bersama Sabah Energy Corporation (SEC) dan PETRONAS dimuktamadkan, menjamin kestabilan sumber tenaga untuk kilang keluli hijau yang bakal dibina.

“Seterusnya pada Mac dan April, Esteel melaksanakan proses pembidaan kontraktor untuk pembinaan jeti secara telus dan kompetitif, dan memeterai Kontrak Pembinaan Jeti Fasa 1 dengan China Communications Construction Company (CCCC) pada 30 Mei 2025,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 hari ini, menjawab pertanyaan ADUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang.

Tambah beliau, tarikh itu turut menyaksikan Majlis Pelancaran Rasmi Projek Pelaburan Fasa 1 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.

“Pelan pembangunan kilang ini telah diluluskan oleh Majlis Daerah Sipitang, termasuk kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan pelan kerja tanah,semua ini menandakan kesiapsiagaan penuh untuk memulakan kerja pembinaan,” jelas Phoong.

Kerja-kerja pembersihan dan penyediaan tapak kini sedang giat dijalankan, dan transformasi fizikal di lokasi dijangka dapat dilihat menjelang Julai dan Ogos 2025.

Beliau menegaskan bahawa pelaburan ini bukan sahaja akan membawa masuk nilai pelaburan asing yang besar, tetapi juga menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, meningkatkan daya saing syarikat tempatan serta merangsang pertumbuhan sektor hiliran di Sabah.

“Kementerian komited untuk terus menyelaras dan memudahcara pelaksanaan pelaburan ini agar pengoperasian kilang dapat dipercepatkan, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Pelaburan oleh Esteel dijangka menjadi antara projek industri keluli hijau paling signifikan di Malaysia Timur, sekaligus mengangkat Sabah sebagai hab baharu industri berteknologi tinggi rantau ini.

Tinggalkan komen