Oleh: Sumayyah Rihanna
KOTA KINABALU: Enam keluarga dari Kampung Nelayan 1 Likas yang terlibat dalam perobohan rumah mereka kini boleh menarik nafas lega apabila Kerajaan Negeri mengesahkan bahawa mereka akan ditempatkan semula di kawasan penempatan baharu seluas dua ekar.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam jawapan lisan beliau semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, memaklumkan bahawa tanah berkenaan adalah di bawah hak milik MLGH (Sabah) Sdn. Bhd. dan bukannya Rimdaya Sdn. Bhd. seperti yang dipercayai sebelum ini.
“Perisytiharan pengambilan tanah CL.015669799 bagi tujuan penempatan kampung telah dibuat di bawah Seksyen 3, Ordinan Pengambilan Tanah Bab 69 dan disiarkan dalam Warta Kerajaan menerusi G.N.210/2025 bertarikh 5 Jun dan 12 Jun 2025,” katanya menjawab pertanyaan ADUN Darau, YB Tuan Azhar Datuk Haji Matussin.
Menurut Hajiji, surat kebenaran untuk mengambil alih tapak telah diberikan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), manakala surat tawaran pampasan kepada pemilik tanah, MLGH (Sabah) Sdn. Bhd., telah dikeluarkan pada 30 Jun 2025.
“Ini bermakna, enam keluarga berkenaan boleh ditempatkan di sebahagian kawasan tersebut untuk membina semula kediaman mereka,” tambah beliau.
DBKK akan bertanggungjawab menyusun pelan tata atur penempatan bagi kawasan tersebut bagi memastikan keselesaan dan penyelarasan pembangunan semula kawasan terbabit.
Enam keluarga dari Kampung Nelayan 1 sebelum ini kehilangan tempat tinggal selepas kediaman mereka dirobohkan, menyebabkan isu tersebut dibangkitkan secara langsung oleh wakil rakyat dalam sidang Dewan pada November 2024.
