Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menggesa agar semua syarikat yang layak mendapat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam untuk membuat pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) dengan kadar segera.
“Penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapat manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuat kuasakan pada satu masa yang akan diumumkan.
“Jadi kepada yang terlibat, sila buat pendaftaran dengan segera, ini penting untuk membolehkan kenderaan-kenderaan syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS terus boleh menerima subsidi diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa hadir dalam majlis penyerahan smartpay fleet card, di sini hari ini.

Menurut beliau, status pendaftaran semasa bagi wilayah Sabah, Labuan dan Sarawak setakat 14 Jun 2026 adalah sebanyak 8,060 buah syarikat dengan 29,631 buah kenderaan.
“Bagi Sabah, sebanyak 3,922 buah syarikat dengan 14, 415 buah kenderaan sudah mendaftar, manakala bagi Sarawak pula, sebanyak 3,869 buah syarikat dengan 14,447 buah kenderaan.
“Untuk Labuan pula, sebanyak 269 buah syarikat sudah mendaftar dengan 769 buah kenderaan,” katanya lagi.
Tambah Armizan, pelaksanaan dan peluasan SKDS itu adalah usaha kerjasama erat antara Kerajaan dengan syarikat minyak, khususnya Petronas Dagangan Berhad.

“SKDS untuk sektor pengangkutan darat barangan telah pun mula dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sejak Jun 2024 yang lalu dan selepas dua tahun berjalan dengan baik, kerajaan memutuskan untuk memperluaskan sistem ini ke Sabah, Sarawak, dan Labuan.
“Proses pendaftaran bagi syarikat-syarikat yang layak di ketiga-tiga wilayah tersebut telah dibuka bermula 4 Mei 2026.
“Syarikat yang permohonannya diluluskan melalui sistem yang dikawal selia oleh KPDN boleh memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan masing-masing (seperti Petronas SmartPay),” katanya.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa Kerajaan telah membelanjakan RM2 billion setahun bagi subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawal pada tahun 2025.
“Untuk 2026, subsidi diesel yang ditanggung Kerajaan terus meningkat akibat daripada krisis tenaga susulan konflik Asia Barat.
“Untuk dua bulan pertama sahaja, sebelum tercetusnya konflik, subsidi diesel yang dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak ialah sebanyak RM103 juta untuk Januari, dan RM106 juta untuk Februari.
“Tetapi sejak konflik bermula, implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah ini telah mencecah RM563 juta bagi bulan Mac dan RM647 juta bagi April, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan subsidi diesel untuk tempoh empat bulan pertama hingga April 2026 sudah mencecah RM1.4 bilion,” jelasnya.
Pemohon Sabah, Sarawak dan Labuan boleh membuat permohonan bagi mendapatkan fleet card dari syarikat PETRONAS, Shell dan Petron.
Dalam perkembangan lain, Armizan juga memberitahu bahawa bagi bulan Jun dan Julai, status bekalan bahan api adalah selamat dan tiada gangguan besar dilaporkan di stesen-stesen minyak.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, PETRONAS Dagangan Berhad Azrul Osman Rani, Pengurus Besar Kanan, Perhubungan Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Khairuddin Jaafar, dan Pengurus Besar, Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan Datuk Siti Ayu Abd Wahab, Pengarah Urusan dan Timbalan Setiausaha KPDN Datuk Roziah Abudin.
Untuk yang ingin membuat permohonan SKDS, senarai jenis kenderaan dan permohonan pendaftaran menyertai SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
