Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus memberitahu bahawa urusan permohonan undi pos bagi dalam dan luar negara untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah bakal dibuka mulai 13 Oktober ini.
“Permohonan ini adalah untuk undi pos bagi semua kategori iaitu Kategori 1A (Anggota Polis, Anggota Tentera, Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, dan Petugas Media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara), dan Kategori 1C (Agensi/Organisasi),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, kesemua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian
(online) di pautan https://myspr.spr.gov.my.
“Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan undi pos.
“Tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak,” katanya lagi.
Untuk sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, sila hubungi talian 0388927080 atau 0388927218.
