KOTA KINABALU: Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng memberi insetif sebagai suntikan semangat kepada Kelab Bola Ragbi Sharks Kota Kinabalu yang bakal mewakili daerah dalam Temasya Sukan Sabah Games (SAGA) 2025, yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 15 Oktober 2025 di Tawau.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara ringkas di Padang Ragbi Tanjung Aru, gelanggang latihan rasmi pasukan.
“Pasukan Ragbi Sharks bukan sekadar membawa nama daerah, tetapi mencerminkan semangat perpaduan, disiplin dan kekuatan generasi muda yang menjadi tulang belakang pembangunan negeri Sabah.
“Sukan ini bukan hanya tentang kemenangan di padang, tetapi tentang membina karakter dan semangat kebersamaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sokongan terhadap aktiviti sukan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan insan dan sosial yang inklusif, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan rakyat sejak tahun 2020.
“Menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang, marilah kita terus mengekalkan politik harmoni berasaskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Gagasan Rakyat Tanjung Aru akan terus menyokong inisiatif yang membina, terutama dalam melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang sukan dan kepimpinan,” tambahnya lagi.
Pasukan Ragbi Sharks Kota Kinabalu dijangka berentap dengan pasukan-pasukan hebat dari seluruh Sabah dalam SAGA 2025.
Sumbangan yang disalurkan ini diharap dapat membantu dari segi persiapan logistik, kelengkapan pasukan dan latihan intensif, seterusnya meningkatkan keyakinan pemain untuk membawa pulang kejayaan.
