Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri antara yang ditahan bersama dua lagi suspek lelaki warga termpatan kerana dipercayai menjadi dalang kepada sindiket pengedaran dadah di sebuah premis rumah kedai di Taman Sri Kepayan, pada 4 September baru-baru ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pasukannya merampas dadah jenis ketamin seberat 20.7 kilogram dengan nilai RM1.035 juta.
“Hasil serbuan terhadap premis itu pada pukul 12.15 tengah hari, kita temui dua karung berwarna hijau yang berisi 20 bungkus plastik berwarna hitam dipercayai dadah jenis ketamin.
“Suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, petang tadi.
Menurut Jauteh, tangkapan pertama yang dibuat melibatkan seorang lelaki warganegara berusia 36 tahun bekerja sebagai pengurus.
“Selepas itu, tindakan susulan tangkapan adalah pada keesokkan harinya, pada pulul 12.05 tengah malam, kita menahan seorang lagi suspek lelaki warganegara berusia 58 tahun yang bekerja sebagai kerani operator.
“Kemudian, tindakan susulan membawa kepada penangkapan pasangan suami isteri pada hari yang sama, pukul 12.15 tengah malam.
“Pasangan ini juga merupakan warganegara yang mana suaminya berusia 47 tahun bekerja sebagai pengarah syarikat manakala isteri berusia 46 tahun dan tidak bekerja,” katanya lagi.
Jelas Jauteh, hasil siasatan awal mendapati bahawa pengurus syarikat kurier itu dipercayai berperanan untuk mengurus bekalan dadah dari sindiket pengedaran di Semenanjung, masuk ke Sabah melalui parcel barang secara kargo penerbangan.
Katanya, pekerja syarikat kurier itu pula berperanan untuk membantu memudahkan urusan pengeluaran parcel dari gudang kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekaligus melepasi pemeriksaan kastam dan mesin pengimbas.
“Suspek suami isteri yang mana suaminya adalah pemilik syarikat kurier itu mengetahui berkenaan penghantaran itu dan isterinya turut bersekongkol.
“Untuk pengetahuan, bekalan dadah yang dirampas ini mampu untuk menampung lebih kurang 68, 993 orang penagih dalam satu masa,” jelasnya.
Jauteh turut memberitahu bahawa saringan ujian air kencing turut dijalankan dan suspek pertama didapati positif dadah jenis metafetamin dan amfetamin.

Pihak polis turut menyita lima buah kenderaan mewah, dua unit televisyen, tujuh unit speaker, satu set komputer, 10 buah beg tangan berjenama dan wang tunai bernilai RM4,670.
“Jumlah keseluruhan barang yang disita adalah dianggarkan bernilai RM3,183,090.
“Kita anggarkan semua rampasan dadah bersama barang sitaan bernilai RM4,218,090,” katanya lagi.
Jauteh turut menyeru orang ramai untuk terus memberi kerjasama kepada pihak polis jika mempunyai sebarang maklumat berkenaan sindiket pengedaran dadah.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan dan kerjasama orang awam.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa komited dalam usaha memerangi dadah dan orang ramai boleh menghubungi hotline JSJN di talian 0122087222 jika ada sebarang maklumat,” ujar beliau lagi.
