@bentan_alamin_35 ditangkap, sebar hasutan melalui media sosial

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberitahu bahawa polis berjaya menangkap seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang disyaki terlibat membuat hasutan dan penggunaan akaun media sosial secara tidak wajar dengan membuat hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Pihak kita menahan pemilik akaun aplikasi tiktok @bentan_alamin_35 di Papar pada pukul 2.45 petang tadi dan kita tahan beliau adalah untuk membantu siasatan.

“Polis juga merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Jauteh, hasil semakan awal ke atas gajet itu, pihaknya mendapati bahawa suspek merupakan pengendali aplikasi akaun tiktok tersebut.

“Suspek yang kita tahan ini juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya. 

Dalam pada itu, Jauteh turut menasihati orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan bertanggungjawab.

“Hati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam serta menimbulkan keresahan masyarakat.

“Kita perlu peka dan berfikir terlebih dahulu sebelum berkongsi atau memuat naik sebarang kandungan di laman media sosial, selaras dengan prinsip undang-undang serta keharmonian masyarakat,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen