TAWAU: Ketua UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin berkata pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang merupakan dasar utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) perlu dilaksanakan sebaiknya khasnya bagi kawasan pedalaman Sabah untuk memastikan pembangunan inklusif dan setara bagi semua kawasan.
“Meskipun dirangka dengan baik, pelaksanaannya di kawasan pedalaman Sabah masih belum menyeluruh, sedangkan kawasan ini paling memerlukan sokongan ekonomi yang bersasar.
“Kemiskinan tegar di Sabah berada pada kadar 1.2 peratus, enam kali ganda lebih tinggi berbanding purata nasional (0.2 peratus) dan ini bukan sekadar statistik, tetapi bukti nyata jurang pembangunan yang masih ketara.
“Realitinya, ramai rakyat Sabah terutamanya ibu tunggal, warga emas dan belia luar bandar masih hidup dalam kekurangan, bukan kerana mereka tidak mahu berusaha, tetapi kerana kurangnya akses kepada peluang dan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan sesi kunjungan dan lawatan di Pasar Tawau, di sini, baru-baru ini.
Selain itu, Bung turut mencadangkan agar Kementerian Ekonomi menstrukturkan semula pelaksanaan IPR agar lebih bersifat menyeluruh dan inklusif di Sabah.
“Pendekatan bersemuka atau “outreach program” perlu dijadikan strategi utama, melibatkan libat urus secara fizikal di balai raya, sekolah, rumah ibadat dan pusat komuniti, serta kerjasama erat bersama ketua kampung, JKKK dan NGO.
“Kerajaan perlu hadir kepada rakyat, bukan sebaliknya.
“Dasar pusat seperti IPR perlu diterjemahkan dengan memahami konteks sebenar rakyat di akar umbi dari segi geografi, budaya dan realiti ekonomi tempatan dan Sabah mempunyai potensi luar biasa jika dasar dilaksanakan secara adil dan tersasar,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Bung juga menyeru agar kerajaan melihat Sabah sebaagi rakam pembangunan strategik yang mampu menyumbang secara signifikan kepada masa depan negara.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat Sabah bukan sekadar negeri termiskin, tetapi sebagai rakan pembangunan strategik yang mampu menyumbang secara signifikan kepada masa depan negara.
“Saya percaya, dengan pelaksanaan IPR yang diperkasa, Sabah mampu keluar daripada kitaran kemiskinan dan menuju ke arah masa depan yang lebih sejahtera,” ujar beliau lagi.
