KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengajak seluruh rakyat di negeri ini untuk mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan.
Beliau juga meminta agar umat Islam di negeri ini untuk terus berusaha meneguhkan keimanan serta ketaqwaan terhadap kebesaran dan keagungan Allah.
“Ayuh kita ikut serta menghayati kisah dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS.
“Naratif AidilAdha yang berkait rapat dengan kisah dan sejarah amalan korban, melibatkan dua figura besar dalam Islam iaitu Nabi Ibrahim AS bersama anakanda baginda, Nabi Ismail AS membawa pengertian dan falsafahnya yang tersendiri, mencakupi tiga aspek utama dalam kehidupan umat manusia, iaitu perjuangan, pengorbanan dan ketaqwaan terhadap Allah SWT.
“Justeru, AidilAdha yang jatuh sempena bulan Haji ini, merupakan bulan suci yang di dalam mengandungi segala rahsia yang terkait dengan apa yang disebut sebagai Habluminallah dan Habluminanaas, iaitu hubungan insaniah dengan Tuhan yang Maha Pencipta, dan hubungan kita sesama umat manusia.
“Semoga sambutan AidilAdha kali ini akan terus memperkukuhkan persaudaraan dan perpaduan di kalangan kita rakyat Malaysia di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Raya Aidiladha 1446H, di sini, hari ini.
Hajiji turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat, walau di mana jua berada.
