RM50,000 bantu Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick meluluskan peruntukan berjumlah RM50,000 bagi membantu keperluan Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan.

Peruntukan itu akan digunakan bagi tujuan naiktaraf kemudahan yang diperlukan oleh usahawan daripada Borneo.

“Ini adalah usaha untuk membantu usahawan-usahawan kita dan peruntukan ini mencakupi 35 set khemah bermotifkan corak Pasar Borneo, meja, kerusi dan kelengkapan lain,” katanya. 

Ewon menyatakan demikian selepas pertemuan dengan Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Nilisip Juin @ Akang, semasa sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA Putrajaya, semalam.

Menurut Ewon, peruntukan itu diharap mampu membantu melengkapkan keperluan yang diperlukan, sekaligus menyumbang kepada usaha merancakkan aktiviti ekonomi di pasar budaya Borneo.

“Pasar Borneo di Seri Kembangan ini yang diadakan setiap hari Sabtu, sejak tahun 2016, dan bersempena dengan sambutan Pesta Kaamatan Putrajaya, saya menemui Persatuan Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan yang memaklumkan saya mengenai beberapa keperluan mereka terutama kemudahan-kemudahan tambahan yang diperlukan.

“Setelah meneliti permohonan rasmi yang disampaikan, maka saya bersetuju menggunakan peruntukan khas menteri saya sebanyak RM50,000 untuk membantu kelengkapan yang mereka perlukan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ewon juga memberitahu bahawa beliau akan berkunjung semula ke pasar Borneo itu untuk menyampaikan kelengkapan-kelengkapan tersebut selepas diuruskan oleh persatuan.

“Ini adalah komitmen saya kerana saya mahu lebih ramai penglibatan warga Sabah dan Sarawak dalam sektor keusahawanan termasuk di tamu mingguan.

“Saya yakin Pasar Budaya Borneo Seri Kembangan boleh menjadi pusat sehenti kepada komuniti Sabah dan Sarawak di Semenanjung untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan yang berasal daripada negeri mereka,” katanya lagi.

Dalam pertemuan tersebut, Ewon turut dimaklumkan mengenai hasrat dan jemputan persatuan bagi menyempurnakan sambutan Hari Gawai dan Tadau Kaamatan 2025 anjuran persatuan tersebut pada Julai ini.

Tinggalkan komen