Perlu lebih ramai wanita terlibat buat dasar dan keputusan: Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji  Noor menzahirkan hasrat untuk melihat lebih ramai wanita terlibat dalam proses sesuatu dasar dan keputusan. 

“Apa yang utama adalah saya ingin lebih ramai wanita ada akses dan peluang untuk perkasakan bidang ekonomi, pendidikan, dan politik serta berupaya membuat pilihan yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka dan keluarga mereka,” katanya. 

Hajiji berkata demikian semasa berucap dalam majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di  Menara Kinabalu hari ini.

Menurut Hajiji, aspek pemerkasaan wanita penting untuk manfaat dan kesejahteraan mereka sendiri termasuk kemajuan komuniti masyarakat secara keseluruhan.

“Bila wanita dapat memperkasa penglibatan dalam pelbagai sektor, ini pastinya memberi kesan kepada hasil ekonomi positif, keluarga sihat dan komuniti yang saksama.

“Namun kita faham ada banyak usaha kerjasama dari semua pihak, baik kerajaan, organisasi mahupun individu adalah penting dan perlu wujud supaya persekitaran inklusif bagi kaum wanita boleh dicapai. 

“Untuk itu, saya amat berharap agar ahli MPWS yang baru dilantik kali ini mampu menjadi jentera kerajaan dalam memaksimumkan penglibatan wanita bagi pelbagai aspek, kerana kita mahu wanita kita berilmu, hebat dan menyumbang kepada mengharumkan nama negeri Sabah yang kita cintai ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji turut menekankan bahawa wanita adalah sumber modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negeri dan peranan ini sangat jelas.

“Semua ada peranan masing-masing dan wanita tidak terkecuali kerana mereka membantu kerajaan dalam mewujudkan ruang di mana kaum wanita tampil sebagai golongan berilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran dan mampu berdepan cabaran pembangunan ekonomi.

“Inilah uniknya wanita kerana sumbangan kepada pembangunan ekonomi yang kuta tahu, ini sangat mencabar kerana memmerlukan nilai kreativiti san inovasi,” jelasnya lagi.

MPWS merupakan sebuah badan penyelaras dan penasihat kepada kerajaan Negeri serta pengantara kerajaan Negeri dan organisasi wanita bukan kerajaan.

“Tugas MPWS meliputi aspek melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat  kepada kaum wanita Sabah di peringkat negeri, nasional, dan antarabangsa, antara lainnya. 

“Oleh itu, jika anda dalam kalangan yang dilantik dan diamanahkan untuk memegang jawatan di MPWS, ini merupakan satu  penghormatan.

“Anda dipilih dan diberi amanah dalam peranan kepimpinan  untuk memastikan wanita di Sabah akan mendapat manfaat daripada dasar dan  program kerajaan melalui MPWS,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, MPWS turut memainkan peranan penting untuk bertindak sebagai badan pemikir, pemangkin dan saling bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah  (JHEWA) bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri Sabah.

“Saya difahamkan ada tujuh jawatankuasa kecil telah diwujudkan dalam MPWS angaranya Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, dan Wanita & Media, serta ini adalah bertujuan bagi memajukan pembangunan golongan wanita di sini. 

“Saya meletakkan harapan tinggi, supaya JHEWA yang bertindak sebagai sekretariat MPWS, akan memainkan peranan dalam membantu pelaksanaan program-program yang dirancang oleh MPWS meliputi jawatankuasa kecil yang diwujudkan.

“Saya juga berharap kepada semua ahli-ahli Majlis Penasihat yang baharu dilantik ini,  supaya dapat menetapkan hala tuju MPWS dalam mensejahterakan rakyat melalui  jawatankuasa yang ada,” katanya. 

Upacara angkat sumpah ahli baru MPWS melibatkan jawatan pengerusi bagu Datuk Dr.  Rosmahwati Lasuki, dan ahli-ahli baru  MPWS adalah seperti Datin Hajah Fauziah Datuk Abu Bakar Titingan, Jais Asri, Prof Ts. Dr. Imbarine Bujang, Viviantie Sarjuni, Dayang Selha Ibrahim, Nor Saadah Omar, Nor Azah Abd Rahman dan Datin Atin Belynda Buntot. 

Tinggalkan komen