PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyokong hasrat Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Putrajaya untuk menubuhkan koperasi dan melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk membantu komuniti di Sabah.
Katanya, matlamat itu dilihat wajar dan penting untuk memperkasakan komuniti masyarakat Momogun termasuk yang berada di Semenanjung Malaysia.
“Saya menyokong penuh hasrat KDCA Putrajaya untuk menubuhkan koperasi bagi
memperkasakan penyertaan KDCA Putrajaya dalam aktiviti keusahawanan melalui gerakan koperasi.
“Saya akan meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membantu KDCA Putrajaya dalam urusan memproses permohonan agar impian mereka menubuhkan koperasi dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan anjuran KDCA Putrajaya, semalam.
Ewon mengulas mengenai sambutan itu, katanya Pesta Kaamatan merupakan platform penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang.
“Saya berharap penganjuran Pesta Kaamatan Putrajaya diteruskan setiap tahun, dan kita semua sama-sama menjadi duta perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini, bermula dari sambutan Pesta Kaamatan Putrajaya.
“Kaamatan bukan sahaja diraikan di Sabah, malah di seluruh negara dan juga luar negara termasuk Kedutaan Malaysia di Vatican yang akan menganjurkan sambutan Kaamatan-Gawai hujung bulan ini,” jelasnya.
Ewon turut berkongsi wawasan kementeriannya dalam usaha memperkukuh sektor keusahawanan dan koperasi di Malaysia Timur menerusi pendekatan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara (Perspektif KUSKOP).
“Kita (KUSKOP) mahu kukuhkan sektor keusahawan dengan memberikan fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak dalam pembangunan keusahawanan dan koperasi tanpa menjejaskan fokus sedia ada kementerian.
“Semoga Pesta Kaamatan tahun ini membawa makna besar kepada usaha menyatukan rakyat dan memperkukuh jaringan keusahawanan serta koperasi dalam komuniti Momogun di perantauan,” katanya.
Pelbagai acara menarik disusun sempena sambutan itu termasuk persembahan nyanyian artis tempatan Sabah, pameran dan jualan produk tempatan Sabah dan pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Putrajaya.
Tati Emelka Ryner dinobatkan juara Unduk Ngadau Peringkat Putrajaya seterusnya mewakili Pertandingan Unduk Ngadau Peringkat Kebangsaan pada 30 dan 31 Mei ini, di Hongkod Koisaan KDCA Penampang.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Tati Wendey Merrylen dan tempat ketiga oleh Tati Rachel Justin.
