KOTA KINABALU: Pencapaian cemerlang wanita Sabah dalam bidang pendidikan perlu diterjemahkan secara menyeluruh kepada penyertaan ekonomi, kemajuan kerjaya serta peluang lebih luas dalam kepimpinan bagi memastikan golongan itu terus menjadi rakan strategik pembangunan negeri.
Sehubungan itu, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah akan menganjurkan Forum Wanita Sabah Merentas Generasi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada 2 Disember depan.
Bertemakan ‘Daripada Potensi kepada Impak: Wanita Sabah Memacu Masa Hadapan’, forum berkenaan bakal menghimpunkan wanita daripada pelbagai generasi, sektor dan latar belakang bagi mengenal pasti cabaran, merapatkan jurang pembangunan serta merangka langkah strategik memperkasa golongan itu.
Pengerusi IDS Sabah, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, berkata penganjuran program itu bukan sekadar wadah perbincangan mengenai pembangunan wanita, sebaliknya menjadi platform penting bagi menterjemahkan dapatan kajian berasaskan bukti kepada tindakan praktikal yang boleh diukur impaknya.
“Forum ini memberi ruang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak berkepentingan untuk bersama-sama merangka langkah strategik yang konkrit bagi memperkasa wanita Sabah merentas generasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDS Sabah, Datuk Ts Dr Ramzah Dambul, berkata golongan wanita merupakan antara pemacu utama pembangunan sosioekonomi negeri menerusi sumbangan signifikan dalam sektor pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, perkhidmatan awam, korporat serta kepimpinan masyarakat.
Menurutnya, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) Sabah 2023, negeri ini mencatatkan skor keseluruhan 0.715 sekali gus mengatasi purata nasional yang berada pada tahap 0.705.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan meskipun nisbah enrolmen pendidikan tertiari wanita berbanding lelaki merekodkan angka tinggi iaitu 1.889, nisbah penyertaan tenaga buruh wanita hanya mencatatkan 0.673, manakala bagi kategori penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus pula berada pada paras 0.407.
“Dapatan kajian ini jelas menunjukkan pencapaian pendidikan wanita yang kukuh masih belum diterjemahkan sepenuhnya kepada penyertaan aktif ekonomi, kemajuan kerjaya dan representasi dalam kedudukan kepimpinan serta pembuatan keputusan,” katanya.
Mengulas lanjut pengisian program, Ramzah memaklumkan forum itu merangkumi dua acara utama iaitu Forum Perdana bertajuk ‘Wanita Sabah: Daripada Potensi kepada Impak’ serta Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bertemakan ‘From Evidence to Action: Memperkasa Wanita Sabah Merentas Generasi’.
Perbincangan berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada empat tonggak utama merangkumi aspek wanita dalam tenaga kerja, keusahawanan, kepimpinan serta pementoran dan legasi bertemakan ‘Pengalaman Tidak Bersara’ yang memanfaatkan kepakaran wanita pesara serta pemimpin senior.
Program yang turut menyokong aspirasi Kajian Rangka Tindakan Wanita Sabah 2026–2035 serta memperkenalkan Portal Wanita Women’s Leadership Initiative Committee (WLIC) itu terbuka kepada agensi kerajaan, pemain industri, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai dengan maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi talian 088-450500 atau e-mel sarah.marican@ids.org.my.
