Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Big Bad Wolf Books kembali memeriahkan Kota Kinabalu dengan memberikan pengalaman penerokaan buku dan tawaran istimewa pelbagai jenis buku menarik dari pelbagai penerbit.
Acara yang bakal berlangsung selama 11 hari bermula 30 Oktober hingga 9 November, dibuka pada pukul 10 pagi hingga 10 malam, dan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Pengurus Kanan Perhubungan Awam Big Bad Wolf Books, Chloe Lim berkata pengunjung di mengalu-alukan untuk hadir dan menikmati pelbagai tawaran istimewa sepanjang tempoh jualan.
“Kita ingin memberikan pengalaman penerokaan buku dan bahan bacaan, dan kunjungan Big Bad Wolf Books ke Kota Kinabalu merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya untuk mendekatkan budaya membaca dengan masyarakat.
“Pasukan Big Bad Wolf Books juga turut berkunjung ke sekolah-sekolah serta berinteraksi dengan para pendidik dan pelajar di sekitar Kota Kinabalu, yang mana ia membuka ruang untuk bertemu dengan guru dan komuniti membaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sidang media, di sini, petang tadi.

Tambah beliau, melalui interaksi bersama komuniti pembaca, Big Bad Wolf Books fokus untuk mewujudkan pengalaman menyeronokkan melalui aktiviti membaca, kepada semua lapisan komuniti masyarakat.
“Di SICC nanti, pengunjung boleh meneroka pelbagai pilihan buku berbahasa Inggeris untuk setiap peringkat usia dan minat, daripada buku bergambar kanak-kanak kepada karya fiksyen, bukan fiksyen serta pelbagai penemuan menarik untuk pembaca tegar mahupun mereka yang baru berjinak-jinak membeli buku.
“Sabah mempunyai komuniti pembaca yang begitu pelbagai, dan kami mahu memastikan ada sesuatu untuk semua pembaca di negeri ini, terutamanya kanak-kanak dan golongan muda yang masih meneroka minat membaca mereka,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Chloe juga berkongsi bahawa Big Bad Wolf turut menyediakan rangkaian inisiatif membaca yang mudah diakses serta ganjaran untuk tempoh terhad bagi menjadikan kunjungan ke Kota Kinabalu satu destinasi yang menarik buat pembaca, pendidik dan komuniti pencinta buku.
“Antara yang menarik adalah diskaun istimewa kepada pelajar dan guru sebanyak lima peratus bagi setiap pembelian tiga buah buku secara minimum, diskaun bagi sekolah, institusi dan perpustakaan sebanyak 10 peratus bagi setiap perbelanjaan minimum RM1,600, atau diskaun 12.5 peratus dengan perbelanjaan minimum RM4,500 dan ke atas bagi membantu menambah koleksi buku Bahasa Inggeris.
“Kita juga memberikan ganjaran kepada pembeli terawal, di mana 50 pengunjung pertama setiap hari yang tiba sebelum pukul 11.00 pagi akan menerima baucar tunai eksklusif bernilai RM10 untuk memulakan pencarian buku mereka.
“Kita juga adakan tawaran istimewa hari pembukaan, yang mana pembeli yang berbelanja RM200 dalam satu resit akan menerima lima penyertaan cabutan bertuah, untuk berpeluang memenangi jongkong emas premium seberat 10 gram, ini juga dibuka bagi peserta yang mengikuti Share & Win, Snap & Win dan Spend & Win,” katanya.
Pengunjung yang hadir pada 31 Oktoner dengan mengenakan kostum atau solekan Halloween juga akan menerima sticker Wolfie edisi khas.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh ikuti saluran rasmi Big Bad Wolf melalui laman media sosial Facebook: https://www.facebook.com/bbwbooks, Instagram: https://www.instagram.com/bigbadwolfbooks/ dan TikTok: https://www.tiktok.com/@bigbadwolfbooks.
