Hargai usaha pengamal media, bantu sebar maklumat sahih: MISUR

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pengerusi Penganjur Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan anjuran Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) 2026, Dr Abdul Rashid Hassan menegaskan bahawa segala usaha dan komitmen pengamal media khasnya dalam membantu menyebarkan maklumat sahih perlu dihargai oleh semua pihak.

“Kini, semua serba moden dan penyebaran maklumat juga berlaku dalam platform digital dengan sangat pantas.

“Namun realiti yang perlu semua pihak tahu adalah, peranan penting para pengamal media yang bukan cuma menyampaikan berita, tetapi menjadi penghubung kepada masyarakat, tanpa mengabaikan kepentingan kesahihan fakta dalam berita yang diterbitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis iftar dan agihan sumbangan Ramadan di sini, malam tadi.

Dr Rashid berucap semasa majlis

Menurut Dr Rashid, majlis itu dianjurkan dengan tema “Media Tanpa Sempadan; Media dan Fakta Berpisah Tiada.”

“Kita pilih tema ini kerana merasakan ia amat dekat dan signifikan dengan peredaran masa serta kepantasan sebaran maklumat sekarang.

“Sesungguhnya, semua pengamal media memegang tanggungjawab besar dalam usaha untuk melaporkan berita dengan adil, mematuhi etika dan tepat dari segi fakta,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Rashid juga memberitahu, majlis itu juga dianjurkan bersempena bulan Ramadan dan bertujuan untuk menggalakkan masyarakat berkongsi rezeki dengan membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Usaha kita hari ini adalah memberikan bantuan kepada anak yatim, asnaf, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan keluarga yang kurang bernasib baik.

“Semoga usaha kita ini dapat membantu memberi sinar dan meringankan beban mereka, disamping memberikan sedikit sinar kebahgiaan di musim perayaan,” tambah beliau.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

“Saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada pihak penganjur, rakan NGO, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sukarelawan yang belerja keras berganding bahu dalam menjayakan program kebajikan seumpama ini,” kata Nizam.

Jelasnya, usaha itu mencerminkan kekuatan kerjasama berpasukan dan keprihatinan sosial terhadap komuniti khasnya di bulan Ramadan.

“Saya diberitahu bahawa MISUR ditubuhkan sejak 2024, berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan fokus untuk melaksanakan aktiviti kebajikan serta kemasyarakatan.

“Saya lihat, acara ini yang sudah memasuki penganjuran kali ketiga adalah suatu kejayaan yang tercipta, hasil daripada kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sektor korporat.

“Ini adalah satu usaha murni dan MISUR mempamerkan komitmen mereka dalam usaha menyantuni golongan yang memerlukan khususnya bagi kawasan sekitar kawasan Kepayan,” jelas Nizam ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media selepas majlis berlangsung.

Nizam ketika ditemui pemberita semasa sesi sidang media

Tambah beliau, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan aktif semua pertubuhan NGO dalam usaha membantu memperkukuh kesejahteraan rakyat dan komuniti.

“Selain itu, usaha ini juga amat kita galakkan kerana ia mampu meluaskan jalinan kerjasama antara kerajaan dan masyarakat.

“Semoga program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dan  lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni serta menerima manfaat, bukan hanya semasa bulan Ramadan, bahkan kita harap sepanjang masa, insyaAllah,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen