KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata kestabilan politik adalah asas kemakmuran rakyat namun hal tersebut tidak berlaku semasa pentadbiran Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan).
“Sepanjang pentadbiran Parti Warisan, Sabah menyaksikan episod paling tidak stabil dalam sejarahnya.
“Warisan membentuk kerajaan pada 2018 bukan kerana mandat rakyat, tetapi hasil pengkhianatan enam ADUN Barisan Nasional yang melompat parti.
“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak bertahan lama dan Warisan tumbang dengan cara yang sama akibat budaya lompat parti yang mereka sendiri mulakan, jadi wajah sebenar politik Warisan penuh helah, tanpa prinsip, dan sanggup menggadai kepercayaan rakyat demi kuasa sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Jelasnya, selama 26 bulan pemerintahan Warisan, Sabah lumpuh kerana dasar bertukar arah setiap bulan, pelabur hilang keyakinan, dan pembangunan terhenti separuh jalan.
“Ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan pandemik COVID-19, kepimpinan Warisan pula sibuk berpolitik dan berebut kuasa.
“Undang-undang anti-lompat parti yang diwujudkan selepas kejatuhan Warisan menjadi bukti jelas betapa tindakan mereka telah merosakkan integriti demokrasi.
“Apa yang mereka anggap strategi politik sebenarnya menjadi pengajaran besar kepada seluruh negara bahawa kerajaan yang dibina atas pengkhianatan tidak akan kekal,” katanya lagi.
Tambah beliau, Warisan perlu bermuhasabah diri dan berhenti merasakan kegagalan parti itu kerana kesalahan orang lain.
“Ibarat peribahasa ‘rumah tanpa tiang akan roboh,’ begitulah parti Warisan yang menjadi kerajaan tanpa tiang kepercayaan rakyat. Mereka bukan pagar yang menjaga padi, tetapi pagar yang memakan padi.
“Warisan perlu bercermin. Kegagalan mereka bukan kerana orang lain, tetapi kerana kerakusan sendiri,” katanya.
Selain itu, Suhaimi menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah sangat komited dalam mempertahankan kestabilan dan menolak politik khianat yang memecah-belahkan rakyat.
“Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik katak. Cukuplah rakyat menjadi mangsa kerakusan kuasa Warisan.
“Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” ujarnya lagi.
