Oleh: Sumayyah Rihanna
BEAUFORT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan arak selepas merampas 5,136 tin minuman keras tidak bercukai yang ditemui dalam sebuah pacuan empat roda dan sebuah stor di daerah ini.
Dalam operasi khas Op Taring Landai yang dijalankan pada pukul 9 pagi semalam, sepasukan anggota PPM menahan seorang lelaki bersama kenderaan Toyota Hilux yang sarat dengan minuman keras seludup pelbagai jenama.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM174,250.90.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai runner atau pembekal bagi pasaran haram tempatan.
“Hasil tangkapan itu membawa kepada serbuan susulan di sebuah lot kedai yang dijadikan stor penyimpanan barang seludup.
“Pemeriksaan lanjut menemui ribuan tin arak tidak bercukai yang dipercayai untuk diedarkan di sekitar Beaufort dan kawasan berhampiran,” katanya.
Mohd Nazri turut memberitahu bahawa kes berkenaan kini disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada masyarakat mengenai sebarang aktiviti jenayah, khususnya penyeludupan barangan kontraban.
Kami akan terus komited membanteras kegiatan ini demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.
Rampasan itu sekali gus melumpuhkan salah satu rangkaian pengedaran arak seludup yang cuba bertapak dalam pasaran gelap di Sabah.
