Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Fuziah Salleh memberitahu bahawa parti itu kekal berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan kerjasama Pakatan Harapan (PH)- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Kita berpegang kepada kenyataan PM, di mana dia ingin melihat kerjasama antara PH-GRS-BN untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.
Fuziah turut menjawab soalan pemberita berkenaan status Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang keluar dari UMNO dan menyertai PKR.
“Berkenaan Tengku Zafrul, kita dari parti, kita terbuka dan sesiapa saja bebas untuk memohon keahlian.
“Tidak ada sebarang keistimewaan diberikan kepada sesiapa,” katanya lagi.
Menurut Fuziah, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah meluluskan lebih 1,000 permohonan keahlian semasa mesyuarat lalu.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
Beliau turut menghantar surat kepada pimpinan UMNO, sekaligus melepaskan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Pagi tadi, Bernama turut melaporkan bahawa Menteri Perdagangan dan Industri itu mengesahkan permohonannya untuk menyertai parti PKR telah diterima dua minggu lalu dan beliau kini merupakan ahli PKR bagi Cabang Ampang.
