Sejauh mana kejayaan 94 peratus yang diumumkan itu?: Suhaimi

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mempersoal Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ 1.0) yang telah capai “kejayaan” 94 peratus seperti diumumkan oleh Kerajaan Negeri.

“Mengapa kadar pengangguran Sabah masih paling tinggi di Malaysia iaitu 7.7 peratus atau lebih 169,800 orang tidak bekerja.

“Ini bukan cakap kosong pembangkang. Ini angka rasmi dari Jabatan Perangkaan Malaysia. Ia lebih dua kali ganda dari purata negara (3.2%), dan lebih tinggi dari negeri lain seperti Sarawak (3.3%), Kelantan (3.8%) dan Kedah (1.7%).

Kita juga diberitahu ekonomi Sabah berkembang, pelaburan mencecah RM35 bilion, dan lebih 400 projek telah dibawa masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini hari ini.

Menurut Suhaimi, perkara sebenar haris diketahui okeh rakyat dan Kerajaan Negeri perlu menjelaskan berapa banyak peluang kerja sebenar yang diwujudkan.

“Berapa ramai anak muda kita yang dapat kerja tetap hasil projek-projek ini dan kalau benar RM1.33 bilion sudah dibelanjakan untuk pembangunan modal insan dan lebih 160 pusat TVET diselaraskan, kenapa graduan Sabah masih menganggur?

“94 peratus siap tidak bermakna apa-apa kalau rakyat masih miskin dan tiada kerja dan rakyat tidak hidup dengan statistik. sebaliknya, rakyat perlukan pekerjaan, pendapatan stabil dan masa depan anak-anak yang terjamin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Suhaimi turut mencadangkan agar satu audit bebas dijalankan terhadap SMJ 1.0.

“Ini perlu wujud dan bukan oleh agensi kerajaan, tetapi badan profesional yang benar-benar telus.

“Biar rakyat tahu, adakah pelan ini benar-benar membantu mereka, atau sekadar cantik atas kertas,” ujar beliau lagi.

One comment

Tinggalkan Jawapan kepada Sejauh mana kejayaan 94% yang diumumkan itu? – Suhaimi – Borneo News Network Batal balasan