Guru wanita maut dibunuh kejam abang kandung

Oleh: Sumayyah Rihanna

TUARAN: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kes bunuh melibatkan seorang wanita tempatan yang dibunuh dengan kejam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tenghilan, Tamparuli, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, mangsa berusia 41 tahun ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian dengan kesan kecederaan parah di bahagian leher, kepala serta kedua-dua mata yang dipercayai akibat tikaman senjata tajam.

“Mangsa merupakan seorang guru dan suspek adalah abang kandungnya sendiri,” katanya.

Menurutnya, hasil maklumat awam, pihak polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan pernah menerima rawatan susulan di fasiliti kesihatan,” katanya dalam kenyataan siang tadi.

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian, diminta menghubungi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau balai polis berhampiran.

Tinggalkan komen