Oleh: Sumayyah Rihanna
TAWAU: Seorang lelaki tempatan diberkas polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika pasukan polis melaksanakan Op Tapis di kawasan Kampung Vietnam, Tawau.
“Ketika operasi dijalankan, anggota polis telah melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lutsinar yang mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.06 gram dengan nilai anggaran RM20 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek yang juga seorang penganggur telah dibawa bersama barang rampasan ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
