KIULU: Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT), khususnya di kawasan pedalaman, berpotensi besar untuk merangsang pertumbuhan sektor pelancongan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, CoBT telah membuktikan impaknya apabila projek perintis di Kiulu menyumbang kepada peningkatan hasil negeri, mencecah RM7 juta pada tahun 2024, berbanding RM6.7 juta pada tahun sebelumnya daripada 18 daerah aktif.
“CoBT adalah antara projek teras dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Saya berharap usaha ini terus dipergiat kerana potensinya besar untuk menjana ekonomi, khususnya di kawasan pedalaman,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran bagi tahun 2025, di sini hari ini.
Menurut Hajiji, sebanyak 923,709 pelancong telah direkodkan di Sabah setakat suku pertama 2025, bersamaan 26 peratus daripada sasaran keseluruhan 3.5 juta pelancong untuk tahun ini.
Tambah beliau, pembangunan infrastruktur di luar bandar juga perlu diberi keutamaan bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan secara mampan.
“Prasarana yang baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk setempat, tetapi juga menjadi tarikan utama kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya lagi.
Dalam ucapan itu juga, Hajiji menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus menyokong usaha kerajaan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi negeri, terutama dalam sektor pelancongan.
“Kesejahteraan komuniti sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan sebab itulah kita giat membangunkan ekonomi di semua peringkat,” tegasnya.
Pada majlis yang sama, empat persatuan CoBT termasuk Persatuan Pelancongan Kiulu, Persatuan Pelancongan Tambunan, Persatuan Pengusaha Kopi Sabah dan Persatuan Komuniti Wanita Kampung Tambatuon, Kadamaian Kota Belud menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat universiti serta persatuan pelancongan dari Taiwan.
“Saya yakin kolaborasi ini akan memperkasa pengetahuan dan kemahiran komuniti tempatan dalam sektor pelancongan,” ujar beliau sambil menegaskan bahawa Kiulu perlu terus memanfaatkan segala peluang untuk memperkukuh potensi pelancongan dan pertanian sebagai pemangkin ekonomi daerah.
Hajiji turut mengumumkan bahawa Persidangan Pelancongan Berasaskan Komuniti pertama akan dianjurkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah pada Jun ini di Kota Kinabalu.
“Persidangan ini merupakan satu lagi langkah strategik bagi memperkukuh sektor pelancongan negeri,” katanya.
Dalam pada itu, sebanyak RM1.1 juta telah diluluskan bagi melaksanakan beberapa projek pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu.
Antara projek yang terlibat ialah pembinaan tempat letak kereta di Pekan Kiulu, pembinaan jalan raya ke Kampung Kitapol serta projek bekalan air graviti di Kampung Lopot.
“Saya berharap semua projek ini akan merealisasikan aspirasi rakyat untuk menikmati pembangunan yang berterusan,” ujar beliau.
Pada majlis berkenaan, Hajiji turut mengisytiharkan Dewan Masyarakat Kiulu sebagai Dewan Masyarakat OKK Rampassebagai penghormatan kepada pemimpin setempat.
