Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Komitmen sektor korporat dalam memajukan sukan negeri terus dizahirkan apabila Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) tampil menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA).
Sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis ringkas di pejabat SAFA, Kota Kinabalu oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang.
Menurut Japlin, sumbangan itu adalah usaha jitu CIS dalam memartabatkan pembangunan sukan negeri, khasnya bola sepak.
“Kita ucapkan tahniah dan berharap agar SAFA lebih cemerlang dengan kepimpinan Pemangku Presiden baharu.
“CIS adalah sebuah GLC dan usaha ini adalah antara usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami, dan hari ni, tepat pada masanya, ada perlawanan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Kita faham kos yang diperlukan sangat besar dan SAFA perlu memikirkannya untuk perlawanan, jadi CIS merasakan terpanggil untuk bantu dan menyumbang,” katanya.
Tambah Japlin, sumbangan kali ini merupakan dua kali ganda daripada nilai sumbangan tahun lalu.
“Tahun lalu kita sumbang setengah juta dan alhamdulillah, tahun ini kita ada rezeki lebih, kita tambah jadikan sejuta.
“Doakan supaya CIS mampu terus menjana pendapatan dengan jualan kita, dan semoga tahun hadapan kita dapat menyumbang lebih banyak lagi, mudah-mudahan,” katanya lagi.
Hadir sama semasa majlis itu ialah Setiausaha Agung SAFA Shamsuddin Mohd Shah.
Sementara itu, pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang turut merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan dalam usaha memperkasa arena bola sepak Sabah.
“Sumbangan ini juga mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.
“Terima kasih kita ucapkan kepada CIS,” ujar beliau lagi.
