Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) membayar RM500 ribu zakat perniagaan bagi tahun 2025 kepada Pusat Zakat Sabah, sekaligus menyantuni golongan asnaf dan anak yatim.
Zakat berkenaan disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Ketua Penolong Setiausaha Zakat dan Fitrah MUIS, Iwansuzairie Hari wakil dari Pusat Zakat Sabah, dalam satu majlis yang berlangsung di sini, malam tadi.
Menurut Japlin, sebagai syarikat milik kerajaan negeri, CIS bukan sahaja memainkan peranan dalam menyokong pembangunan ekonomi Sabah, malah turut komited menyalurkan sebahagian keuntungan kepada golongan yang memerlukan melalui pembayaran zakat.
“Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan negeri, kita bukan sahaja memikul tanggungjawab menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah, tetapi juga berkongsi rezeki dengan masyarakat melalui agihan zakat.
“Kita berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban golongan miskin dan asnaf, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba,” katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengurus Besar CIS Sumardi Mohd Yusof, Timbalan Yang Dipetua MUIS Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad serta kakitangan pengurusan CIS.
Selain penyerahan zakat, CIS turut menganjurkan Majlis Iftar Bersama 60 anak yatim dan asnaf daripada beberapa institusi kebajikan termasuk Rumah Anak Yatim & Asnaf As Sakinah, Pertubuhan Kebajikan Bayu Raudhah Sabah dan Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah.
Setiap rumah kebajikan menerima sumbangan RM2,000.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan CIS dalam menyokong usaha kebajikan serta membantu golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan di Sabah,” kata Japlin lagi.
Majlis tersebut turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara sektor korporat, agensi kerajaan dan masyarakat dalam semangat kebersamaan, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
