Fairuz kekal ADUN Pintasan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak petisyen pilihan raya yang mencabar kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan bagi kerusi DUN tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Datuk Farisz Gohim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang turut bertanding bagi kerusi DUN tersebut semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah, November tahun lalu. 

“Saya dengan ini memutuskan bahawa responden, Fairuz Renddan, dipilih dengan sah sebagai wakil rakyat bagi kawasan Pintasan,” kata hakim.

Fairuz diwakili peguam Rizwandean M Borhan bersama Al-Hafidz Lokman dan Khalid Murshidi.

Mahkamah turut mengarahkan agar Pandikar membayar kos RM10,000 kepada Fairuz.

Mahkamah menerima beberapa bantahan awal yang dibuat Fairuz, antaranya ialah berkenaan petisyen yang gagal menyatakan keputusan pilihan raya.

Pada 22 Disember 2025, Pandikar memfailkan petisyen itu bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa Fairuz tidak dipilih secara sah sebagai ADUN Pintasan.

Semasa Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 pada 29 November tahun lalu, Fairuz memenangi kerusi DUN Pintasan dalam pertandingan 11 penjuru dengan 4,675 undi dengan majoriti 1,070.

Fairuz ketika ditemui pemberita

Fairuz ketika ditemui pemberita selepas keputusan mahkamah membatalkan petisyen yang difailkan terhadap beliau turut berkongsi rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa bersamanya sejak awal hingga kini.

“Terima kasih, saya sangat bersyukur, sebenarnya saya sendiri tidak tahu apa lagi mahu dicakapkan tapi dari lubuk hati saya, saya sangat berterima kasih kepada semua, kepada undang-undang, kepada pasukan peguam yang bersama-sama membantu saya dan kepada semua yang bersama saya.

“Saya akan fokus dengan kerja-kerja sebagai wakil rakyat di Pintasan, seperti biasa dan saya akan terus majukan Pintasan, seperti yang saya janjikan dan laksanakan sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat lagi.

“Saya sentiasa berdoa memohon kesejahteraan untuk Pintasan dan semua rakyat di sana kerana saya berdiri sebagai wakil rakyat, kerana mereka memilih dan mahu saya memperjuangkan suara mereka,” katanya. 

Tinggalkan komen