Kita tidak beri ruang samseng penjual rokok haram di kawasan PBT seluruh negeri: Fairuz

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Sabah, Datuk Fairuz Renddan menegaskan bahawa kementerian itu tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), lebih-lebih lagi jika mereka mempamerkan lagak samseng.

“Kita akan banteras, kita akan usir semua dan kita tidak akan biar golongan samseng sebegini untuk jejak kaki, dan menjual rokok mereka yang sudah terang-terang dilakukan secara haram, di semua kawasan PBT, bukan cuma di Sandakan, tetapi seluruh negeri.

“Insiden malang yang berlaku di Sandakan itu adalah sesuatu yang amat tidak wajar dan mulai saat ini, saya dan kementerian mulakan tindakan lebih keras supaya samseng-samseng ini tiada ruang menjaja rokok haram mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Sebuah video tular di laman media sosial TikTok, yang dikongsikan oleh Sandakan Viral Kini yang memaparkan seorang penguatkuasa dilaporkan cedera kerana dipercayai dipukul oleh sekumpulan lelaki yang berlagak samseng.

Kejadian itu dipercayai berlaku selepas mangsa menegur seorang penjual rokok untuk tidak menjual rokok di kawasan Pasar Batu 8, Sandakan, kira-kira pada pukul 2.30 petang kelmarin.

Menurut Fairuz, kesalahan menjual rokok haram dan rokok seludup sememangnya tertakluk dibawah bidang kuasa kastam namun bagi kementeriannya, usaha lebih keras dan giat akan dilakukan untuk mengekang segala kegiatan penjualan rokok tersebut.

“Kita ingin mengingatkan semua penjual rokok haram di kawasan PBT seluruh Sabah, berhenti sekarang, jangan tunjuk pandai dan cuba jadi samseng bila pegawai menegur.

“Apa yang anda lakukan itu satu kesalahan dan sememangnya anda perlu akur dengan teguran yang diberikan, tetapi sebaliknya anda bertindak seperti anda pemilik kawasan, sesuka hati memukul pegawai yang bertugas.

“Jangan ulang kejadian ini lagi, saya ingatkan, jangan cuba ulang kejadian seumpama ini lagi,” tegas Fairuz.

Dalam pada itu, Fairuz turut berkongsi bahawa kementerian itu sentiasa berusaha dalam memastikan keselamatan dan keharmonian di seluruh kawasan PBT terjamin serta pesalah yang mengganggu ketenteraman awam di kawasan PBT akan diberi hukuman setimpal.

“Kawasan awam adalah kawasan yang sepatutnya selamat, harmoni dan aman kerana semua orang mempunyai hal untuk menjalankan aktiviti rutin harian mereka selagi tidak melanggar mana-mana undang dalam negeri dan negara kita.

“Jadi, andai ada pihak yang mementingkan diri, mahu tunjuk hero, mahu jadi ‘pemilik’ kawasan dan lebih-lebih lagi memukul pegawai kita yang bertugas, maka kita tidak akan memandang sebelah mata dan membiarkannya,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen