Resepi Nusantara, SICC tawar 850 menu buffet Ramadan tahun ini

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) meneruskan tradisi dalam menonjolkan pelbagai juadah menarik dalam sajian buffet Ramadan tahun ini melalui konsep Resepi Nusantara, yang menawarkan 850 menu dari seluruh Asia dan Kontinental.

Usaha itu juga antaranya adalah untuk  menyokong industri pertanian dan perikanan tempatan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan.

Buffet yang berlangsung mulai 26 Februari hingga 18 Mac itu mengajikan kepelbagaian juadah termasuk sajian tradisi, makanan terkenal benua Asia atau ‘street food’, resipi  turun-temurun dan pilihan kuih-muih tradisional.

Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr. Rosmawati Lasuki berkata, buffet tahun ini bukan sahaja menekankan skala dan kepelbagaian dalam sajian menu, malah ianya turut memberi fokus kepada kolaborasi bermakna serta peranan SICC sebagai platform penyatuan komuniti. 

“Kita wujudkan kolaborasi bersama pelbagai pihak tahun ini dan Ramadan di SICC bukan sekadar jamuan, sebaliknya platform yang menyatupadukan masyarakat dan menyokong ekosistem yang lebih luas,” katanya. 

Antara pihak yang terlibat ialah Jabatan Pertanian Malaysia (DoA), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA).

Tambah beliau, melalui kerjasama itu, hasil pertanian dan makanan laut tempatan dimanfaatkan dalam penyediaan hidangan Ramadan, sekaligus membantu usaha memperluas akses pasaran, meningkatkan kestabilan pendapatan pengeluar serta merangsang ekosistem logistik dan perusahaan kecil berkaitan sektor hospitaliti.

Dalam pada itu, Pengarah Operasi Makanan dan Minuman SICC, Chef Mohd Firdaous Mohd Izhar memberitahu bahawa perancangan juadah dan menu buffet tahun ini adalah berfokuskan kepada keseimbangan rasa, konsistensi serta variasi dalam sajian.

“Kita meneliti menu tahun ini dan tekankan  kepada aspek keseimbangan, konsistensi dan kepelbagaian.

“Dengan kerjasama erat bersama pembekal dan agensi tempatan, kita berupaya mengekalkan keaslian sajian sambil memenuhi skala dan kualiti yang sewajarnya untuk semua pengunjung yang hadir,” katanya lagi.

SICC juga menyediakan Ruang Makan Persendirian VVIP yang boleh menampung sehingga 280 tetamu.

Pengunjung juga boleh membeli-belah untuk persiapan aidilfitri dan SICC juga menawarkan Sahur @ Meranti Café, serta set Ramadan Takeaway untuk sungkai dan sahur.

Bah, tunggu apa lagi, mari semua merasai sendiri pengalaman menarik bersama 850 menu berbuka puasa dengan Resepi Nusantara 2026 di SICC sekarang. Jumpa di sana!

Tinggalkan komen