98 vendor OGSE Sabah terima pengiktirafan PETRONAS 

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Sebanyak 98 vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) yang berpangkalan di Sabah menerima pengiktirafan daripada PETRONAS bersama Kerajaan Negeri di atas pencapaian cemerlang dalam usaha memperkukuh ekosistem industri tempatan.

Usaha itu adalah sebagai penghargaan selepas peningkatan jumlah kontrak yang diraih vendor tempatan sejak pelaksanaan Perjanjian Kolaborasi Komersial (CCA) Sabah pada 2021.

Selain itu, sebanyak 133 kontrak berjaya direkodkan bagi tahun 2021 dan jumlah itu bertambah menjadi 499 kontrak bagi tahun 2025, dan mempamerkan pertumbuhan konsisten bagi industri tempatan.

Pembantu Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Sr Mohd Ishak Datuk Ayub, hadir mewakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), petang tadi. 

Pengiktirafan itu disampaikan oleh Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS, Rashidah Alias.

Hadir sama ialah Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM) PETRONAS, Datuk Ir Bacho Pilong.

Ir Bacho semasa berucap memberitahu bahawa landskap tenaga global yang  dinamik mendorong sektor OGSE agar terus berfungsi sebagai pemain industri dan memajukan ekonomi negara. 

Katanya, sektor OGSE berpotensi dan mampu untuk terus menjadi pemacu ekonomi Malaysia.

“Dengan adabya sokongan dan kerjasama berterusan bersama Kerajaan Negeri Sabah, kita yakin, kita mampu membina rantaian bekalan OGSE yang berkredibikiti dan lebih ke depan serta berdaya tahan.

“Ini turut menjadi sesuatu peningkatan positif yang meletakkan Sabah sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya.

Dalam pada itu, vendor yang menerima pengiktirafan adalah mereka yang cemerlang dalam skop kerja sederhana hingga kompleks, termasuk penyelenggaraan turbin gas, perkhidmatan Kapal Sokongan Pengeluaran bagi operasi penggerudian laut dalam, penyelenggaraan kepala telaga dan terminal, kerja penyelenggaraan serta pengubahsuaian, selain operasi marin.

“Mereka turut mengukuhkan kerjasama industri dengan kontrak usahasama yang membabitkan kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir, termasuk kerja sambungan dan pentauliahan,” katanya lagi.

Dalam majlis itu juga, dua syarikat Sabah, Seascape Synergy Services Sdn. Bhd. bagi penyelenggaraan rakit dan bot penyelamat dan GMB Dynamic Sdn. Bhd. bagi penyelenggaraan jentera bomba diumumkan sebagai peserta baharu Program Pembangunan Vendor (VDP). 

“Penyertaan ini adalah cerminan kepada peningkatan standard keupayaan vendor tempatan dari segi aspek keselamatan, kualiti dan kecemerlangan operasi,” jelasnya lagi.

Tinggalkan komen