SEPANGGAR: Penyelam skuba digesa untuk sentiasa peka terhadap keadaan mental mereka ketika melakukan selaman dalam.
Penasihat Perubatan Selam Skuba Kol (Dr) Eugene Tan Choon Li berkata para penyelam perlu mengetahui dan memahami bagaimana kedalaman selaman boleh mempengaruhi keadaan mental kita.
“Bagi penyelam berpengalaman, kita mesti memainkan peranan dalam mendidik orang lain mengenai bahaya selaman dalam.
“Kita seharusnya memaklumkan orang ramai tentang risiko yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada 14 ahli Sabah Dive Squad Club selepas mereka mengalami sendiri penggunaan kebuk hiperbarik berteknologi tinggi yang terdapat di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.
Kelab tersebut, yang diketuai presidennya Sim Fui, berada di dalam kebuk berkenaan selama kira-kira 40 minit, termasuk tempoh singkat pada kedalaman simulasi maksimum 40 meter.
Pada kedalaman 30 dan 40 meter, para peserta diuji dengan soalan oleh Pegawai Waran Pertama hospital Almudi Eskal, bagi menunjukkan bahawa keadaan mental boleh terjejas semasa selaman dalam.
Dalam pada itu, Dr Eugene turut memberi taklimat kepada rombongan tersebut mengenai komplikasi lain yang berkaitan dengan aktiviti selam skuba seperti penyakit penyahmampatan (decompression sickness) dan barotrauma.
Pakar Perubatan Dalaman hospital itu juga berkata, kebuk hiperbarik bernilai jutaan ringgit berkenaan mampu membantu merawat kecemasan perubatan berkaitan selaman serta keadaan lain seperti kecederaan dan jangkitan kulit, keracunan karbon monoksida, anemia teruk dan kehilangan pendengaran secara tiba-tiba, antara lain.
Sementara itu, Sim berkata peluang yang jarang diperoleh itu nyata meningkatkan kesedaran dalam usaha mencegah kemalangan sekaligus memastikan kelangsungan keseronokan jangka panjang dalam sukan berkenaan.
“Pendedahan secara praktikal ini memberikan pengetahuan yang amat bernilai dan tidak dapat diperoleh melalui teori semata-mata.
“Lebih penting lagi, ia mengukuhkan kepentingan keselamatan, disiplin dan pertimbangan yang waras dalam selaman rekreasi.
“Lawatan ini benar-benar mengingatkan kami bahawa walaupun kita menyelam dengan penuh minat dan emosi, kita mesti sentiasa menyelam dengan pemikiran rasional serta menghormati had kemampuan diri,” ujar beliau lagi.
