Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan mengecam tindakan seorang lelaki yang dipercayai merupakan tenaga pengajar, yang memukul sekumpulan remaja lelaki yang merupakan pelajar madrasah, menggunakan topi keledar di kawasan kedai.
“Video yang tular di laman media sosial dengan durasi hampir lima minit itu jelas menunjukkan perilaku yang tidak sepatutnya dibuat apatah lagi kepada anak-anak madrasah.
“Jika betul ada masalah, ada kesalahan, atau para pelajar tersebut perlu dihukum kerana melanggar undang-undang sekolah, bukan dengan cara menghentak kepala anak-anak tersebut dengan topi keledar.
“Ini tindakan tidak berasas, tidak beretika dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Fairuz berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut Fairuz, pihak berwajib perlu mengambil tindakan kepada lelaki dewasa tersebut bagi memastikan hal yang sama tidak berulang di masa akan datang.
“Malam tadi, lelaki berusia 30an itu sudah ditahan oleh pihak polis untuk tujuan siasatan dan semoga kejadian seumpama ini dapat dielakkan dan dikekang daripada berulang lagi pada masa akan datang.
“Anak-anak perlu dibentuk dengan sahsiah murni dan kesalahan perilaku mereka juga perlu ditegur dengan bimbingan secara berhemah, bukan dengan tindakan keji seperti yang kita lihat dalam video itu,” kata Fairuz lagi.
Dalam pada itu, Fairuz yang juga merupakan Pembantu Menteri kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan menegaskan bahawa pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa memantau sistem pengurusan sekolah-sekolah seperti madrasah kerana hal sedemikian perlu dielakkan daripada kembali berulang.
“Kena ada satu tindakan khas, pantau pengurusan sekolah-sekolah seperti ini, kerana ibu bapa yang hantar anak-anak ke madrasah adalah dengan satu tujuan sahaja.
“Ibu bapa ingin membentuk sahsiah anak dengan pendidikan agama yang khusus dan memberikan kepercayaan kepada tenaga pengajar bagi menjaga dan mendidik anak-anak mereka di masrasah.
“Namun kejadian yang berlaku itu, sudah pasti menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa, andai tiada sebarang tindakan drastik dan khusus diambil dalam masa terdekat, secara berterusan,” jelas Fairuz.
Dalam pada itu, Fairuz turut menekankan bahawa generasi muda seperti anak-anak remaja dan belia di peringkat sekolah adalah generasi pelapis yang bakal menjadi peneraju kepada legasi negeri Sabah dan hak mereka untuk mendapat pendidikan serta perlindungan di tempat belajar adalah perlu diutamakan.
“Anak-anak kita adalah permata yang kelak bakal menjadi pelapis, penerus kepada pentadbiran dan memajukan negeri kita.
“Mereka berhak untuk belajar dalam suasana yang aman, berlindung dengan keadaan yang selamat dan tidak diabaikan dari aspek kebajikan secara keseluruhan, terutamanya dalam skop dan ruang mereka dididik, iaitu di sekolah atau pusat pengajian.
“Semoga semua pihak sedar bahawa tindakan yang melibatkan keganasan dan boleh dikatakan sebagai zalim ini adalah tindakan yang merugikan institusi bermasyarakat dan persepsi negatif dapat diubah,” ujar beliau lagi.
