Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Datuk Fairuz Renddan menyatakan hasrat beliau untuk terus memfokuskan hala tuju perjuangan beliau dalam aspek pembangunan belia.
Katanya, segala apa yang sudah beliau mulakan sebelum ini akan diteruskan khasnya untuk rakyat Pintasan dan belia di seluruh negeri Sabah.
“Agenda pembangunan kita akan teruskan seperti biasa, dan kita akan fokus kepada aspek pembangunan modal insan serta belia.
“Apa yang saya perjuangkan adalah suara semua rakyat Pintasan, suara belia seluruh Sabah dan inilah keutamaan apabila saya menjadi wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pilihan raya di sini, malam tadi.
Menurut Fairuz, beliau akan menyokong blok kerajaan demi untuk memastikan perjuangan dan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dapat terus digalas.
“Hari ini kita dapat buktikan suara rakyat itu adalah benar, suara anak muda negeri Sabah itu adalah betul dan kita berada dalam landasan perjuangan yang tepat.
“Apa yang penting, apabila menjadi seorang wakil rakyat, kita mahu bawa perjuangan rakyat, bukan peribadi,” katanya lagi.
Tambah Fairuz, soal parti hanyalah sebuah platform untuk seorang pemimpin berpolitik dan hal yang lebih penting adalah semangat dalam memperjuangkan suara rakyat.
“Parti hanya platform dan sekarang saya tidak berada dalam mana-mana parti, saya bebas dan saya akan sokong kerajaan tetapi bukan dengan mengetepikan prinsip perjuangan saya.
“Saya bebas yang berpendirian, bermaruah dan saya akan perjuangkan ini dalam setiap usaha yang saya lakukan,” jelasnya.
Tambah Fairuz lagi, kemenangan itu adalah suara rakyat dan kepimpinan tertinggi perlu mendengarnya.
“Jika kita bekerja bersungguh-sungguh, maka inilah jawapannya, jawapan kepada usaha dan kerja keras kita,” ujar Fairuz lagi.
Fairuz menang dan bakal meneruskan khidmat sebagai ADUN Pintasan bagi penggal kedua, dengan 4,657 undi mengalahkan calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dengan catatan majoriti 1,070 undi.
