Seimbang kebajikan dan kesejahteraan komuniti untuk pembangunan efektif: Redonah

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA MARUDU: Aspek kebajikan dan kesejahteraan komuniti akan sentiasa diseimbangkan, kata Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Bandau, Datuk Redonah Bahanda. 

“Selain memastikan pembangunan kawasan Bandau diperkasa, kedua-dua aspek itu penting dan menjadi keutamaan saya agar masyarakat Bandau terus terbela,” katanya. 

Menurut Redonah, menerusi Program Ziarah Kasih, ia memberi fokus kepada pendekatan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi melalui lawatan dari kampung ke kampung bagi mendengar keperluan serta suara masyarakat secara langsung.

“Pimpinan mesti sentiasa dekat dengan rakyat. Ziarah seperti ini bukan hanya ketika kempen, tetapi adalah budaya kita untuk bersama masyarakat dalam setiap keadaan,” katanya.

Dalam ziarah ke PDM Bintasan Laut, Redonah turut meluangkan masa hadir ke majlis kenduri arwah penduduk kampung.

Selain itu, tambahnya, Program Ziarah Kasih akan diteruskan ke beberapa kampung lain dalam tempoh kempen bagi memastikan setiap suara rakyat Bandau diberi perhatian sewajarnya.

Tinggalkan komen