Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempersembahkan manifesto bertunjangkan empat rukun utama seiring prinsip perjuangannya termasuk Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper, dan Sabah United.
Timbalan Setiausaha Agung, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, empat rukun tersebut akan merangkumi 16 strategi yang menyentuh semua aspek fokus khas, khusus untuk membangunkan ekonomi Sabah dan menjana sosioekonomi rakyat di seluruh negeri.
“Manifesto ini fokus dua matlamat, seiring teman ‘Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemampuan.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan adalah
bagi meningkatkan pendapatan negeri dan pendayaupayaan sosioekonomi rakyat.
“Selain itu, antara strategi utama yang digariskan bagi usaha meningkatkan pendapatan negeri adalah ketegasan kita dalam memperjuangkan hak-hak Sabah, melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuklah hak 40 peratus pemberian khas (special grant), pengukuhan sumber ekonomi dan penerokaan potensi ekonomi baru, termasuk reformasi undang-undang dan institusi,” katanya.
Armizan berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sebuah sidang media selepas Majlis Pelancaran Manisfesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), petang Isnin.
Menurut Armizan, pelan manifesto GRS adalah fokus kepada usaha untuk
meningkatkan keupayaan sosioekonomi rakyat khasnya dalam pembangunan modal insan.
“Ini termasuk penyelesaian isu infrastruktur asas, peluang pekerjaan dengan pendapatan sewajarnya, penyediaan kepada akses perumahan rakyat yang mampu milik, peningkatan bantuan sosial dan pengukuhan perpaduan serta kesatuan rakyat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan juga memberitahu bahawa GRS mempamerkan rekod pencapaian cemerlang dalam usaha menjana hasil pendapatan negeri.
“Kita tengok, pencapaian GRS khasnya bagi rizab negeri yang menjadi teras kepada Manifesto GRS, kita mempersembahkan hala tuju ke hadapan dan rekod prestasi kita dalam tempoh 2021 hingga 2025 semasa mentadbir,” katanya.
Tambah Armizan pencapaian itu sudah menembusi rekod tertinggi dalam sejarah pentadbiran Sabah, dan bukti keberkesanan strategi ekonomi, disiplin fiskal dan tadbir urus baik di bawah pentadbiran GRS.
Katanya, jumlah hasil pendapatan negeri menunjukkan momentum peningkatan positif sepanjang tempoh pentadbiran GRS, dengan kali pertama menembusi paras RM5 bilion pada tahun 2021 selepas berbelas tahun berada pada sekitar antara RM3 bilion dan RM4 bilion di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan lepas.
“Peningkatan bermula RM5.45 bilion pada 2021, kemudian RM6.96 bilion pada 2022, dan RM6.97 bilion pada 2023 serta RM6.84 bilion pada 2024.
“Ini jelas menunjukkan pertambahan hasil sebanyak RM3.25 bilion (90.5 peratus) pada tahun 2024, di bawah pentadbiran GRS berbanding tahun 2020 di bawah pentadbiran Kerajaan Parti Warisan,” jelasnya.
Tegas Armizan, GRS juga optimis dan yakin dengan pelan yang dirancang dalam manifesto, dan meletakkan sasaran kutipan RM10 billion menjelang 2030.
“Kita optimis, positif dan insyaAllah, yakin dengan strategi yang digariskan, kita dapat meningkatkan serta mencapai sasaran kutipan RM10 bilion tersebut,” ujar beliau.
Pelancaran manifesto GRS disempurnakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
