Harga asal untuk tambang bot penumpang Menumbuk ke Labuan: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Kadar tambang bot penumpang dari Menumbuk ke Labuan dikembalikan kepada harga asal, iaitu RM9.00 berkuat kuasa hari ini, berbanding kenaikan harga RM12 sebagai surcaj bahan api yang telah diumum oleh pihak persatuan dan dilaksana pada 1 November lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa KPDN dan agensi berkaitan termasuk Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok sudah mengadakan dua sesi perjumpaan, bagi membincangkan isu berbangkit berkaitan kenaikan harga tambang penumpang.

“Selepas berbincang, kita sepakat akan membantu menyegerakan kelulusan permohonan subsidi petrol RON95 sebaik para operator bot yang layak membuat permohonan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bermula 13 Nov ini.

“Sebagai langkah interim, para operator bot yang layak akan dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik kos tambahan bahan api melalui sistem yang sama.

“Kelayakan tuntutan berkuat kuasa hari ini dan bayaran balik untuk tempoh 30 September hingga 31 Oktober ketika harga tambang belum dinaikkan dan operator bot terpaksa menanggung kos tambahan, juga akan dipertimbangkan dengan disertai rekod pembelian,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah hantaran yang dibuat di laman media sosial Facebook miliknya, di sini, hari ini.

Armizan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu Datuk Limus Jury atas usaha membantu dalam memastikan kepentingan dua-dua pihak iaitu pengguna dan pengusaha bot penumpang diberikan perhatian.

Tinggalkan komen