Dua pasar raya tempatan perluas inisiatif digitalisasi melalui ‘PriceCatcher’

PAPAR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa kementeriannya kini memperluas kerjasama dengan entiti sektor peruncitan bagi inisiatif digitalisasi dan ketelusan data harga dengan penyertaan dua buah pasar raya di Sabah.

Katanya, inisiatif perkongsian sukarela maklumat harga ke dalam Aplikasi PriceCatcher oleh entiti sektor peruncitan itu sudah dimulakan setahun lalu melalui penyertaan Pasar Raya MYDIN dan Pasar Raya Redtick.

“KPDN hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dua entiti sektor peruncitan di Sabah iaitu Pasar Raya Bataras Sdn. Bhd. dan Pasar Raya CKS Retail Sdn. Bhd., yang mana kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN untuk memperluaskan jaringan rakan strategik sektor peruncitan dalam inisiatif digitalisasi dan ketelusan maklumat harga barangan.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan akses pengguna terhadap maklumat harga barangan di pasaran bagi membantu mereka membuat semakan dan panduan perbelanjaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Armizan, aplikaai itu memaparkan maklumat harga bagi 316 barangan keperluan utama pengguna yang dikemas kini secara harian, mingguan, dan bulanan. 

“Ini meliputi beberapa kategori seperti barangan segar, kering, berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.

“Setakat 31 Oktober 2025, aplikasi ini telah dimuat turun oleh lebih 590,000 pengguna di seluruh negara dan terus menjadi rujukan bagi pengguna menyemak harga barangan dengan purata pelawat aktif sebanyak 10,000 seminggu.

“Sebelum ini, maklumat harga dalam aplikasi PriceCatcher diperoleh sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan menyebabkan data harga yang diperoleh untuk dimuat naik ke dalam aplikasi adalah terhad dari aspek liputan kawasan dan bilangan premis yang terlibat,” katanya lagi.

Tambah Armizan, melalui pelaksanaan MoU tersebut, entiti sektor peruncitan tampil secara sukarela membekalkan maklumat harga barangan secara automasi ke dalam sistem PriceCatcher.

“Ini sekali gus memperluas liputan data harga dan membantu pengguna di Sabah mendapatkan data secara masa nyata (real-time) ke atas barangan yang dipaparkan.

“Kita (KPDN) akan terus menggalakkan penyertaan lebih banyak pasar raya dan premis runcit untuk berkongsi data harga secara automasi melalui aplikasi PriceCatcher.

“Ini menzahirkan komitmen entiti sektor peruncitan yang terlibat bagi menjayakan inisiatif digitalisasi dan ketelusan maklumat harga sebagai strategi untuk memenuhi hak universal pengguna untuk mendapatkan maklumat,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Papar itu juga menggesa para penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) memanfaatkan segera pelaksanaan inisiatif Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0.

Katanya, inisiatif Kerajaan MADANI itu bertujuan untuk memperkukuh jaringan perlindungan sosial untuk golongan berpendapatan rendah.

“PTV 3.0 yang bermula pada 1 September 2025 dengan baucar bernilai RM30 dibuka kepada 2 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Baucar ini boleh digunakan untuk membeli produk asas insurans dan takaful yang ditawarkan oleh pengendali insurans dan takaful berlesen di bawah program PTV 3.0 sehingga 31 Disember 2025 atau sehingga semua baucar ditebus, mengikut mana-mana yang terdahulu.

“Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk terus meringankan kos sara hidup rakyat melalui pengukuhan jaringan perlindungan sosial, hari ini KPDN dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menganjurkan Program Siri Takaful di Papar, Sabah,” katanya. 

Tambah beliau lagi, inisiatif itu turut membantu dalam memperluas capaian, meningkatkan kefahaman serta menggalakkan pengambilan produk perlindungan asas insurans dan takaful mampu milik dalam kalangan rakyat.

“Program ini memberi fokus kepada penebusan baucar PTV 3.0 oleh penerima STR. Setakat 11 November 2025, seramai 18,826 penerima STR telah menebus dan membeli produk asas takaful dan insuran melalui syarikat-syarikat terpilih di bawah program ini.

“Kerajaan menggesa penerima STR untuk mendaftar dan menebus baucar PTV 3.0 menerusi lawan web MyCoverage menggunakan pautan https://www.mycoverage.my sebelum tarikh tamat program,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen