Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Armizan Mohd Ali meminta agar semua pihak menunggu dan menilai sendiri tahap kesetiaan ahli parti yang keluar dari Gagasan Rakyat selepas hari penamaan calon pada 15 November ini.
“Kita tunggu dan lihat, tunggu hari penamaan calon, kalau mereka (ahli parti) yang keluar dari GRS dan dicalonkan menjadi calon untuk parti baru mereka, maka kita sudah boleh nilai sememangnya mereka melompat untuk menjadi calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media di sini, hari ini.
Menurut Armizan yang juga merupakan Ahli Parlimen Papar, naratif yang dimainkan oleh Parti Warisan Sabah (Warisan) dengan mengatakan GRS sebagai sarang parti lompat adalah kini berbalik kepada mereka sendiri.
“Terkini, siapa yang menjadi sarang parti lompat, ahli-ahli GRS yang lompat diberi sambutan permaidani merah, mereka meraikan kemasukan ahli-ahli yang lompat ini, kerana bila mereka dapat manfaat, maka mereka raikan.
“Jadi, terima kasih Warisan kerana mereka sendiri sudah menjawab tuduhan yang dibuat, mereka sendiri yang menerima orang parti lain yang lompat,” katanya lagi.
Tambah Armizan, beliau tidak berminat untuk mengulas lebih lanjut berkenaan sikap dan tindakan ahli parti yang lompat dan meninggalkan GRS.
“Itu hak mereka masing-masing dan saya tidak berminat u tuk komen panjang lebar, jika sebab isu ‘calon’ mereka lompat, kita pandang dari sudut positif saja, ini hal yang bagus kerana apabila mereka lompat, mereka sebenarnya memberikan ruang ‘pembersihan’ kepada GRS sendiri.
“Perjuangan dalam politik atau parti adalah perjuangan bersama dan bukan perjuangan kepimpinan peribadi,” tambahnya.
Jelas Armizan lagi, sejarah sendiri jelas mempamerkan sifat sebenar Warisan sebagai sebuah parti yang sememangnya menormalisasikan perkara yang tidak sewajarnya.
“Ingat lagi tahun 2018, kabinet sudah wujud, tapi akhirnya ada pula orang lain yang angkat sumpah.
“Ini bukan suatu perkara baru, mereka (Warisan) sebenarnya sudah menormalisasikan sifat itu dalam insiden yang tidak mungkin akan kita lupakan itu,” kata Armizan.
Armizan juga menegaskan bahawa perjuangan dalam politik dan kepimpinan adalah perjuangan yang direalisasikan dengan hala tuju dan fokus untuk membawa kepentingan parti dan rakyat.
“Ini berlaku dalam mana-mana parti dan perjuangan sebegini sudah lama, kita bekerja dan yakinkan ahli parti tentang prinsip perjuangan adalah untuk kepentingan parti.
“Jika ada yang merasakan kepentingan berpolitik adalah sekadar mahu jadi ‘calon’ dan jika tidak dapat jadi ‘calon’ terus keluar, jadi, ambil langkah hancurkan parti.
“Saya harap semua ada kesedaran, jadi calon atau tidak, ini adalah takdir Tuhan dan apa yang kita buat hari ini adalah cerminan kepada sikap kita, diri kita, ini cukup penting,” ujar beliau lagi.
