Reformasi undang-undang hartanah bakal dilaksana: Armizan

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited dalam usaha untuk memperkasa perlindungan hak pembeli dalam reformasi perundangan berkaitan hartanah.

“Kajian dan semakan kerangka ini sudah dimulakan dan reformasi ini kita jangka mampu dilaksanakan pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

“Antara dua fokus kita adalah pindaan kepada Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 atau pemansuhan enakmen ini dan menggubal enakmen berkaitan yang baru, serta penggubalan undang-undang baru iaitu Enakmen Pengurusan Bangunan 2025,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir dalam sebuah sidang media, di sini, hari ini.

Jelas Armizan, reformasi undang-undang berkaitan hartanah itu adalah untuk memenuhi perkembangan sektor hartanah termasuk pembangunan strata di Sabah.

“Objektif ini adalah untuk menyelesaikan isu kelewatan pengeluaran hakmilik, mempercepat pembentukan perbadanan pengurusan, menangani isu penyelenggaraan bangunan dan mewujudkan pesuruhjaya bangunan.

“Ini adalah inisiatif murni kerana usaha menambahbaik undang-undang hartanah ini adalah termasuk dalam garis fokus Agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi yang terkandung dalam Manifesto GRS untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 yang mana akan dibentangkan selepas hari penamaan calon kelak,” ujar Armizan lagi.

Tinggalkan komen