Projek Century Plaza: Bertindak segera, maklumkan pembeli perkembangan semasa ikut perjanjian

Oleh: Zacherlyn Ad

PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menggesa pihak pemaju dan Majlis Daerah Papar untuk mengambil tindakan segera dan memaklumkan kepada para pembeli tentang perkembangan sekaligus mengambil tanggungjawab sepertimana yang terkandung dalam perjanjian jual beli.

“Kes Projek Fasa 1 Century Plaza di Papar ini sudah berlanjutan hampir 20 tahun dan 32 unit lot kedai sudah pun memiliki Sijil Menduduki (OC) yang mana dikeluarkan pada 4 September 2006.

“Namun, masalahnya syarikat pemaju iaitu PMSB Ventures Sdn. Bhd. dengan kerjasama pemilik tanah iaitu Majlis Daerah Papar, tidak memberi respon dan kerjasama terhadap usaha menguruskan proses pecah bahagia  geran dan permohonan geran individu untuk setiap pembeli.

“24 daripada pembeli sudah tampil memohon bantuan melalui Pejabat Ahli Parlimen Papar dan 19 orang sudahpun menyelesaikan sepenuhnya pinjaman bank, bahkan dua orang pembeli sudah meninggal dunia,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sebuah sesi sidang media, di sini, pagi tadi.

Menurut Armizan, beliau turut meminta pihak pemaju untuk berjumpa bersamanya dan wakil kumpulan pembeli pada 27 Oktober lalu tetapi tidak ada wakil atau peguam mereka hadir semasa sesi perjumpaan tersebut.

“Amat mengecewakan dan untuk tujuan ini, saya sudah meminta peguam firma guaman Tetuan Zainal & Associates bagi mengambil tindakan lanjut, menjadi wakil kepada 24 pembeli bagi mempertimbang tindakan undang-undang mengikut perjanjian jual beli jika pihak pemaju tidak beri sebarang respon, dan surat ini sudah dikeluarkan pada 31 Oktober baru-baru ini. 

“Mereka ada masa 14 hari untuk respon dan menjawab persoalan bagi permasalahan yang tiada penghujung ini.

“Jika mereka masih menunda, melarikan diri atau memandang remeh masalah ini, maka sudah tentu peguam akan mengambil tindakan lanjut yang lebih keras kerana keutamaan kita adalah membantu para pembeli,” katanya. 

Tinggalkan komen