Oleh: Zacherlyn Ad
PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali memberitahu bahawa usaha menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon kini sudah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 59.39 peratus sehingga 25 Oktober 2025.
“Projek ini berskala besar dan kita jangka akan siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026, sekaligus menjadi penyelesaian utama kepada masalah gangguan bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk daerah Papar.
“Isi air antara masalah utama yang menjadi penyakit ‘tiga serangkai’ selain daripada bekalan elektrik dan masalah infrastruktur jalan raya sudah berlarutan sejak berpuluh tahun, dan masalah ini bukanlah isu baru yang berlaku di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kepada mereka yang caka GRS gagal selesaikan isu tiga serangkai, mereka sedar kah semasa mereka mentadbir dlu, isu ini selesaikah?… Tidak, realitinya, ini isu legasi yang telah lama kita warisi,” katanya.
Armizan berkata demikian dalam sebuah hantara video yang dimuat naik di laman media sosial miliknya, hari ini.
Menurut Armizan, keperluan air terawat di Papar adalah sebanyak 93 juta liter sehari (JLH), tetapi kapasiti sedia ada hanya boleh menampung 63 JLH melalui tiga loji iaitu LRA Kogopon (40 JLH), EWSS Limbahau (10 JLH) dan LRA Jetama Limbahau (13 JLH).
“Kekurangan kira-kira 30 JLH ini adalah punca kepada masalah bagi sebahagian kawasan terutama Mukim Kinarut dan kawasan perumahan bertingkat sering mengalami masalah gangguan dan catuan air.
“Untuk itu, usaha menaik taraf LRA Kogopon Fasa Dua bagi meningkatkan kapasiti loji kepada 80 JLH sudah lama dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), tetapi tertangguh disebabkan kelewatan pelaksanaan dan peningkatan kos projek,” katanya.
Tambah Armizan, Mesyuarat Khas Penyelaras Isu Bekalan Air Sabah dan Kelantan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Jun 2023 turut membawa kepada projek naik taraf itu turut disenaraikan sebagai projek yang diberi keutamaan.
“Selepas mesyuarat itu, walaupun proses Notis Perubahan (NOC) belum dimuktamadkan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan supaya proses perolehan dimulakan segera, kontraktor sudah dilantik dan majlis pecah tanah telah disempurnakan pada 25 Ogos 2023.
“Komitment saya adalah untuk memantau pelaksanaan projek secara berkala bagi memastikan ia siap mengikut jadual, meskipun mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Armizan turut memberitahu bahawa pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang bagi menambah sumber bekalan air mentah turut rancak dijalankan.
“Projek bernilai sederhana ini bermula pada 10 Mac 2025 baru-baru ini dan dijangka siap pada awal tahun depan, dengan kemajuan semasa sebanyak 36.92 peratus.
“Muka sauk baru itu akan membantu mengatasi masalah peningkatan kadar klorida di Sungai Papar yang menyebabkan dua loji di Limbahau terpaksa ditutup sementara ketika musim kemarau atau air pasang besar.
“Dengan adanya muka sauk alternatif di Kampung Kabang, kedua-dua loji di Limbahau boleh terus beroperasi walaupun muka sauk asal tidak boleh digunakan akibat air masin,” tambah Armizan.
Selain itu, Armizan menzahirkan penghargaan kepada usaha keras Kerajaan Negeri atas sokongan dan kelulusan segera projek-projek penting bagi kawasan Papar, serta memohon maaf kepada penduduk yang masih berdepan kesukaran akibat gangguan bekalan air.
“Kedua-dua projek ini sedang berjalan dan semoga semua berjalan lancar mengikut perancangan yang dijadualkan.
“Untuk ini, saya sendiri dan rakan-rakan dalam GRS akan terus berkhidmat sehabis baik untuk Paparian,” katanya lagi.
Armizan turut menyeru agar pengundi di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Papar termasuk Limbahau, Kawang dan Pantai Manis terus memberi kepercayaan kepada wakil GRS pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah penghujung November ini.
“Terus sokong semua wakil GRS untuk pilihan raya akan datang kerana kita semua sedang berusaha sedaya upaya untuk menyiapkan semua usaha yang sudah kita mulakan untuk kepentingan rakyat,” ujar beliau lagi.
