KOLUMNIS: Jangan heret Istana ke medan politik

Oleh: Haji M. Ridzal

Dalam gelora menuju Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) ke-17 Sabah, nama Tun Haji Musa Aman kembali berputar dalam wacana politik bukan sebagai pemain utama di gelanggang, tetapi sebagai figura istana yang kini memegang amanah tertinggi negeri.

Namun, seperti dejavu yang berulang, kisah lama tentang pertuduhan rasuah yang telah lama selesai dan digugurkan oleh mahkamah kembali dibangkitkan seolah-olah masa enggan melepaskannya. 

Hakikatnya, kes berprofil tinggi yang melibatkan beliau telah melalui proses undang-undang yang sah dan berakhir dengan pembebasan penuh sesuatu yang wajar dihormati dalam prinsip keadilan.

Tetapi dalam dunia politik Sabah yang penuh helah dan bayang, nama Musa tidak pernah benar-benar hilang. 

Beliau pernah memimpin negeri ini selama 15 tahun dengan gaya kepimpinan yang tegas, penuh strategi dan disegani kawan mahupun lawan. 

Rangkaian politik yang dibina sepanjang tempoh itu masih wujud hingga kini dari akar umbi UMNO hingga ke lapisan teknokrat dan pentadbiran negeri.

Kini, sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa berada pada posisi perlembagaan yang amat strategik satu tandatangan, satu perkenan, boleh menggerakkan semula roda politik Sabah. 

Namun posisi ini bukan milik parti, bukan alat kuasa, dan bukan pentas balas dendam politik. 

Ia adalah simbol neutraliti dan kestabilan negeri yang mesti dijaga dengan penuh integriti.

Malangnya, dalam keghairahan menunggang isu menjelang pilihan raya, terdapat pihak yang seolah-olah sanggup menyeret nama institusi istana ke gelanggang politik, bahkan mencipta video-video yang menghina, memfitnah, dan mengaibkan. 

Tindakan seperti ini bukan sahaja biadab terhadap Tun Musa sebagai individu, tetapi juga satu bentuk penghinaan terhadap institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah yang menjadi lambang perpaduan rakyat.

Semua parti politik ,baik GRS, Warisan, BN, PH, mahupun PN harus matang dan beretika. 

Jangan sesekali menjadikan istana sebagai perisai atau senjata dalam perang persepsi. 

Politik boleh datang dan pergi, tetapi institusi istana mesti kekal di atas segala pertikaian dan kepentingan sempit.

Dalam keadaan politik Sabah yang masih berpecah dan penuh ketidaktentuan, kehadiran Tun Haji Musa Aman di singgahsana bukan ancaman, tetapi penenang simbol bahawa di sebalik segala gelora politik, masih ada tiang seri yang menjaga keseimbangan negeri.

Biarlah beliau menjalankan tugasnya dengan tenang dan berwibawa.

Kepada semua pemain politik, berhentilah memancing sokongan dengan fitnah yang mengheret istana. 

Kerana apabila garis kesucian itu dilanggar, bukan sahaja imej seseorang tercemar, tetapi maruah negeri Sabah turut tercalar.

Tun Musa bukan lagi tokoh politik yang perlu dijatuhkan, tetapi pemimpin negeri yang perlu dihormati. 

Dalam politik yang kian kabur sempadannya, menghormati perlembagaan dan menjaga adab terhadap istana adalah ukuran sebenar kematangan berpolitik di bumi Sabah.

Tinggalkan komen