KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa terdapat wujud keperluan untuk perlaksanaan reformasi secara menyeluruh dalam pengurusan sumber asli negeri.
“Ini susulan kebimbangan rakyat terhadap isu lesen mineral yang turut mengaitkan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Perlu ada pendedahan berhubung penglibatan ahli politik dalam urusan sumber negeri amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurut beliau, BN Sabah turut mencadangkan tiga langkah utama bagi memulihkan keyakinan rakyat dan memastikan pengurusan sumber negeri kembali telus, beramanah dan berpihak kepada rakyat.
“Pertama, menggubal Akta FPIC Sabah (Free, Prior and Informed Consent) bagi melindungi hak tanah adat (NCR) dan memastikan tiada rundingan dibuat di belakang rakyat.
“Kedua, melaksanakan reformasi struktur Lembaga Pengurusan Mineral Sabah (SMM) supaya dikendalikan oleh profesional bebas, bukan ahli politik berkepentingan dan ketiga, memastikan keutamaan diberikan kepada syarikat milik Anak Sabah dalam semua projek pembangunan serta eksploitasi sumber negeri.
“Sabah perlukan keberanian politik untuk mempertahankan hak rakyatnya. Hasil yang besar tidak bermakna jika maruah negeri tergadai,” katanya lagi.
Tegas beliau, hasil bumi negeri Sabah adalah hak hakiki dan bukan untuk dijual beli, sebaliknya diwariskan kepada generasi akan datang.
