Kempen terancang pihak lawan burukkan reputasi KM: Nizam

KOTA KINABALU: Sebuah hantaran media sosial yang mempamerkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bertemu Albert Tei untuk mengaitkannya dalam skandal perlombongan di Sabah nyata sebuah agenda kempen terancang pihak lawan bagi memburukkan reputasi Ketua Menteri. 

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Ketua Menteri adalah ketua eksekutif Kerajaan Negeri, dan bertanggungjawab untuk berjumpa dengan semua lapisan pihak berkepentingan.

“Pertemuan-pertemuan Ini adalah mesyuarat rasmi biasa yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Ketua Menteri. 

“Individu di sebalik hantaran media sosial tersebut, bersama Albert, mempunyai niat jahat untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan Albert dan skandal perlombongan menggunakan gambar untuk menyiratkan. 

“Tambahan pula, Ketua Menteri tidak menafikan kenal atau pernah bertemu dengan Albert, tetapi jelas, pos tersebut adalah satu cubaan untuk mempolitikan mesyuarat biasa, yang bersifat menyiratkan dan tidak bertanggungjawab,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Nizam, Ketua Menteri bersikap telus dan memberi ruang kepada semua pihak untuk berbincang serta berurusan demi untuk kepentingan rakyat dan negeri.

“Saya ingin meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh, sambil memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri memastikan bahawa Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama sepenuhnya.  

“Segala tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang dan bukan melalui kempen fitnah di media sosial,” kata Nizam.  

Dalam pada itu, Nizam juga memberitahu bahawa portal berita tempatan semalam mendedahkan, seorang sumber memaklumkan bahawa Albert telah merancang ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan dengan kes rasuahnya yang dijadual disebut di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini. 

“Ternyata, jelas ada agenda kerana Albert sendiri memainkan peranan utama dalam mencetuskan drama persepsi tersebut. 

“Beliau sudah merancang langkah ini lebih awal. Dia masuk ke Sabah dengan memberitahu pihak imigresen kononnya hanya mahu berjumpa kawan, sedangkan dia tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah yang sepatutnya. 

“Semua ini merupakan sebahagian daripada muslihat dan perancangan jahat Albert untuk menimbulkan kekeliruan dan menimbulkan persepsi kononnya beliau dianiaya,” katanya lagi.

Tambah Nizam, tindakan Albert dilihat sengaja mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya bagi meraih simpati awam. 

“Ini bukan lagi tindakan individu teraniaya, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan terhadap dirinya sendiri,” ujar beliau lagi.

         

Tinggalkan komen