Harapan Rakyat sedia bertanding di mana sahaja kerusi ditetapkan pucuk pimpinan GRS

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), menyatakan kesediaan untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan gabungan itu.

Presidennya, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, segala keputusan mengenai agihan kerusi terletak sepenuhnya kepada pucuk pimpinan GRS, dan partinya akan sentiasa bersiap sedia di mana sahaja diarahkan untuk bertanding.

“Sebagai seorang presiden parti, memang semua kerusi saya mahu, tetapi kita ini satu badan pucuk pimpinan. Kita merupakan parti yang berdisiplin, kita bukan datang untuk berebut.

“Jadi kita ikut keputusan yang dimuktamadkan pucuk pimpinan. Apabila kita ditetapkan atau ditentukan bahawa itu tempat kita, kita akan maju ke depan tidak kira di mana pun akan dicabarkan,” katanya.

Menurut Liew, GRS kini berada di fasa akhir untuk memuktamadkan pembahagian kerusi yang telah dibincangkan bersama presiden-presiden parti dalam gabungan tersebut.

Dalam masa yang sama, Harapan Rakyat menyasarkan untuk bertanding di antara dua hingga tiga kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

“Kalau ikut kita minta dua hingga tiga kerusi sahaja sebab saya rasa kita mahu kerusi yang pasti kita dapat miliki. Sebagai parti kecil, orang perlu sedar bahawa parti-parti besar hari ini juga bermula daripada parti kecil,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada lima penerima di kawasan Merotai, Tawau pada Khamis.

Tinggalkan komen