Cubaan seleweng minyak sawit lebih RM3 juta gagal

Oleh: Sumayyah Rihanna

TAMBUNAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah dalam satu operasi khas di tepi Jalan Tambunan–Kota Kinabalu, malam tadi.

Komander PPM Wilayah 4, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, serbuan yang dijalankan sekitar pukul 10.30 malam itu hasil maklumat risikan membawa kepada penahanan lima individu tempatan yang disyaki terbabit dalam aktiviti tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui tiga lori tangki, dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta 106,960 kilogram minyak sawit mentah yang dipercayai disimpan untuk tujuan penyelewengan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3,005,127.60.

Katanya, kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005 bagi tindakan lanjut.

Mohd Nazri menegaskan, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan hasil negara di seluruh kawasan strategik dan laluan utama di Sabah.

“PPM Wilayah 4 sentiasa komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara terpelihara.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti haram seperti ini,” ujarnya.

Tambahnya, kerjasama masyarakat amat penting bagi membantu pihak berkuasa mengekang kegiatan penyelewengan yang menjejaskan ekonomi negara.

Tinggalkan komen