Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 (Akta 533) Pindaan 2023 yang digubal adalah sebuah kejayaan untuk Sabah dan Persekutuan kerana ia adalah komited pemerintah yang menjunjung nilai dan makna federalisme sejak sekian lama.
Timbalan Setiausaha Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pindaan yang digubal itu juga adalah sebuah pencapaian kerajaan GRS dalam memastikan hak Sabah serta Sarawak tidak dipinggirkan.
“Ini bukan hanya victory for Sabah, tetapi juga victory for the federation, dan saya sebenarnya hampir terlupa bahawa pindaan
Akta LHDN pada tahun 2023 itu sebenarnya salah satu lagi contoh track record pencapaian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang wajar dikongsi kepada Sabahan.
“Kalau dengar petikan video tadi, cara beliau buat olahan akan mengelirukan mereka yang baru pertama kali mendengar dan tidak mempunyai maklumat menyeluruh berhubung pindaan tersebut.
“Saya faham Warisan pastinya tidak happy kerana pindaan ini adalah bukti komitmen Kerajaan Madani, kejayaan GRS dan kemenangan rakyat Sabah. Jadi biasalah, pok mau potong corner, carilah perkara yang boleh dipolemikkan. Itu auta Warisan, tapi fakta adalah sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah hantaran video yang dimuat naik dalam laman media sosial Facebook miliknya, malam tadi.
Menurut Armizan, peruntukan sedia Akta LHDN 1995, tidak mempunyai sebarang peruntukan yang meletakkan keanggotaan Anggota Lembaga LHDN perlu mempunya wakil dari Sabah dan Sarawak.
“Pada 10 Mac 2020, Presiden PBS yang juga Timbalan Pengerusi sebaik GRS tertubuh secara rasmi, iaitu Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili dilantik sebagai Menteri Di JPM dengan portfolio Sabah dan Sarawak.
“Beliau adalah Menteri yang bertanggungjawab kepada urusetia Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) iaitu Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, di bawah Jabatan Perdana Menteri, yang mana ini Bahagian baharu yang tidak wujud dalam Kerajaan Persekutuan ketika Warisan berada dalam pentadbiran itu.
“Selain menyusul isu-isu tertangguh berhubung MA63 sedia ada, salah satu isu baharu yang dimasukkan sebagai agenda di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Maximus adalah keperluan melantik wakil dari Sabah dan Sarawak sebagai Anggota LHDN. Ini adalah hasil konsultasi bersama Kerajaan Negeri Sabah yang diterajui GRS dan Kerajaan GPS di Sarawak,” katanya lagi.
Tambah Armizan lagi, isu berkenaan perwakilan Sabah dan Sarawak turut diselitkan sebagai agenda Majlis Khas MA63 dengan rujukan kepada Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (Inter-Governmental Committee – IGC) yang diterbitkan pada tahun 1962.
“Dalam Bab III, Perkara 24 berhubung Financial Provision, Kurungan (1) dinyatakan perlu ada perwakilan Borneo States dalam Malaysian Board of Income Tax.
“Apa pentingnya perwakilan ini? Sungguhpun dipersetujui bahawa bab percukaian utama adalah federal subject, namun keberadaan perwakilan membolehkan Sabah dan Sarawak terlibat dalam pelaksanaan polisi percukaian khususnya yang melibatkan kedua-dua wilayah.
“Ini sekali gus memberikan akses secara langsung kepada pelbagai maklumat berkaitan. Inilah wisdom pejuang-pejuang lama kita. Malangnya, sejak Malaysia dibentuk pada tahun 1963, sehingga tahun 2021, perkara ini tidak dilaksanakan, apatah lagi dimasukkan dalam mana-mana kerangka perundangan, maka atas sebab itu, sebaik perkara ini dimasukkan dalam agenda Majlis Khas MA63, dipersetujui supaya pelantikan perwakilan Sabah dan Sarawak dilaksanakan segera sebaik wujud kekosongan dan perlu disusuli dengan pindaan Akta,” katanya lagi.
Jelas Armizan, pelantikan tersebut juga telah dilakukan dan Datuk Petrus Gimbad turut dicadangkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, bermula 1 September 2022.
“Pelantikan beliau menggunakan kekosongan satu kuota wakil profesional dan Datuk Petrus merupakan seorang konsultan swasta dan akauntan bertauliah.
“Pada masa itu, pelantikan perwakilan Sarawak belum dibuat dan agar tidak ada orang claim credit, saya tekankan sekali lagi, pelantikan wakil Sabah dan Sarawak sebagai Anggota LHDN adalah isu baharu dalam agenda Majlis Khas MA63 yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan diterajui GRS di Sabah dan Kerajaan GPS di Sarawak.
“Agenda ini tidak ada kaitan dengan Warisan dan tidak wujud dalam agenda Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 (JKKKMA63) yang dibentuk dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebelumnya yang dianggotai Kerajaan Negeri Warisan,” jelas Armizan.
Selain itu, Armizan turut mempersoal tindakan Parti Warisan Sabah yang kononnya mahu menjadi penyelamat Sabah namun tidak melakukan apa yang sepatutnya semasa memegang tampuk pemerintahan kerajaan.
“Soalan saya kalau benar Warisan penyelamat Sabah, mengapa agenda ini tidak masukkan dalam tempoh mereka berkuasa? sedangkan jelas terkandung dalam Laporan IGC.
“Baik, apa pula yang berlaku semasa Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sebaik kabinet dibentuk, mesyuarat khas telah diadakan.
“Saya turut diarahkan untuk menyediakan laporan status isu-isu berbangkit berkaitan MA63 dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet,” katanya.
Tambah Armizan, dalam tempoh kurang sebulan, iaitu pada 21 Disember 2022, beliau telah membentangkan Nota Jemaah Menteri.
“Kedua, dua minggu selepas itu, iaitu pada 4 Januari 2022, setelah mendapatkan maklum balas daripada kementerian-kementerian berkaitan, saya membentangkan Memorandum Jemaah Menteri iaitu Kertas Pertimbangan Keputusan.
“Antara perkara yang telah diputuskan adalah melaksanakan pindaan kepada Akta LHDN, iaitu untuk mewujudkan peruntukan undang-undang bagi pelantikan tetap wakil Sabah dan Sarawak sebagai anggota Lembaga LHDN.
“Maksudnya pelantikan perwakilan Sabah dan Sarawak akan diinstitusikan dan termaktub dalam Akta Parlimen, setelah 60 tahun sejak pembentukan Malaysia dan diputuskan juga Kementerian Kewangan membuat tindakan susulan bagi penyediaan Rang Undang-Undang kerana LHDN terletak di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan,” katanya lagi.
Armizan turut memberitahu bahawa RUU tersebut kemudian dibentang pada Jun 2023 oleh Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, Armizan juga berkongsia bahawa Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak membangkitkan hal berkenaan teks peruntukan bagi Seksyen 6.
“Mereka mahu supaya bukan sekadar diperuntukkan perwakilan dari Sabah dan Sarawak, tetapi dimaktubkan secara tersurat bahawa perwakilan tersebut adalah wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.
“Mengambil kira suara para Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, Kementerian Kewangan telah membuat pembentangan RUU pada bulan Oktober 2023.
“Teks baharu dikemukakan yang memperuntukkan bahawa pelantikan dibuat oleh Menteri Kewangan, dengan pindaan yang berbunyi, setelah berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak,” katanya.
Armizan turut berkongsi bahawa beliau juga difahamkan bahawa teks asal yang disediakan Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara tersebut disediakan dengan mengambil kira status pelantikan sedia ada wakil Sabah yang dibuat melalui Cadangan Kerajaan Negeri Sabah.
“Datuk Petrus Gimbad adalah konsultan swasta dan bukannya pegawai awam Kerajaan Negeri. Maka, penyediaan teksasal dengan hanya menyebut wakil dari Sabah dan Sarawak akan membolehkan opsyen dibuka sama ada wakil tersebut adalah seorang yang berada dalam perkhidmatan awam negeri atau sebaliknya.
“Ini kerana dikhuatiri timbul persoalan undang-undang sekiranya dinyatakan secara bertulis mewakili Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, ia boleh membawa konotasi pelantikan wajib daripada kalangan pegawai perkhidmatan awam, maksudnya wajib pegawai Kerajaan.
“Setelah mengambil kira suara Ahli-Ahli Parlimen dan perbincangan semula dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, maka jalan penyelesaian dicapai iaitu teks tidak perlu menyebut wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, tetapi dimasukkan frasa selepas berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak,” katanya.
Selain itu, jelas beliau lagi, pendekatan itu masih membuka pilihan kepada pelantikan di dalam atau di luar perkhidmatan awam, dengan syarat wajib berunding dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.
“Sebagaimana sehingga kini, selepas berkuat kuasanya Akta, Kerajaan Negeri Sabah masih mengekalkan Datuk Petrus Gimbad untuk mengisi kuota Sabah melalui syor Ketua Menteri Sabah.
“Bagi persoalan mengapakah pelantikan dibuat oleh Menteri Kewangan, saya fikir perkara ini tidak timbul kerana bagi perkara pelantikan melibatkan Akta Parlimen, mana-mana peruntukan undang-undang menetapkan pelantikan dibuat oleh Menteri yang berkenaan berdasarkan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Fungsi- Fungsi Menteri 1969 atau oleh Perdana Menteri atau oleh Yang Dipertuan Agong, tertakluk kepada kategori pelantikan.
“Kalau Datuk Aziz menganggap isu penyediaan teks asal RUU LHDN itu adalah kesalahan saya, adakah beliau juga menyalahkan pemimpin Sarawak iaitu Datuk Amar Fadillah kerana pada masa RUU itu dibentang,beliau bukan hanya Timbalan Perdana Menteri bertanggungjawab kepada Sabah dan Sarawak, tetapi juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63,” jelasnya.
Armizan turut menyelar tindakan Aziz dan menyatakan bahawa Warisan dilihat ketara kekurangan modal politik.
“Tiada modal yang lebih substantif, yang menyentuh kepentingan rakyat, maka dikutip apa saja untuk membina persepsi kegagalan lawan, menyalahkan saya, tuduh saya gagal dan macam-macam lagi.
“Adakah beliau (Aziz) juga secara tidak langsung menyalahkan Perdana Menteri kerana beliau adalah Menteri Kewangan yang kementeriannya bertanggungjawab terhadap penggubalan dan penyediaan teks RUU berkenaan.
“Tapi kalau difikirkan, kiranya Perdana Menteri tidak komited terhadap MA63, beliau boleh saja memutuskan untuk kekalkan status quo, bentuk pelantikan sedia ada, dan tidak perlu kepada pindaan Akta,” ujar beliau lagi.
