Oleh: Sumayyah Rihanna
LAHAD DATU: Keluarga zahir rasa syukur selepas lebih dua dekad tinggal di sebuah rumah usang.
Mohd Idris Lepas dan keluarganya, penantian panjang itu akhirnya berbaloi apabila mereka menerima rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) tahun ini.
Bapa kepada enam anak itu berkata, kehidupannya dahulu penuh kesukaran kerana keadaan rumah yang didiami terlalu daif dan tidak lagi selamat untuk dihuni.
“Di rumah ada enam orang lah, sama anak. Yang lain semua kerja, ada tiga orang lah,” katanya ketika ditemui wartawan New Sabah News baru-baru ini.
Menurutnya, pendapatan tidak menentu hasil kerja sendiri menyebabkan dia hanya mampu membaiki rumah sedikit demi sedikit.
“Kerja sendiri lah. Orang panggil macam baik kereta kah, baik gulai tu siap. Kadang-kadang kalau ada, ada lah, tak ada, gitu lah,” ujarnya.
Selepas menerima rumah baharu hasil inisiatif kerajaan, keluarganya kini dapat hidup dengan lebih selesa dan tenang.
“Memang susah saya mau katakan keadaan rumah dulu. Memang terlalu usang, betul lah.
“Ini pun berapa tahun, nah ini tahun baru saya rasa selesa,” katanya lagi.
Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Maizatul Akmam Alawi berkata, sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 851 rumah baharu PPRS telah diluluskan dan dibina di Sabah, manakala 2,725 rumah lagi telah dibaik pulih.
“Proses pemilihan penerima PPRS ini memang ketat dan mereka yang dipilih terdiri daripada golongan yang benar-benar layak seperti miskin tegar, serta mangsa bencana seperti kebakaran dan banjir,” jelasnya.
Beliau menambah, permohonan bagi program ini kini boleh dibuat secara dalam talian oleh mereka yang benar-benar memerlukan.
Program PPRS yang dilaksanakan KKDW terus menjadi antara usaha penting kerajaan dalam membantu rakyat luar bandar memiliki kediaman yang selesa dan selamat.
