Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menemplak kepimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang jelas berhujah kosong umpama tin kosong, sekaligus umpama meludah ke langit.
“Selama ini mereka membina persepsi bahawa Kerajaan GRS gagal memelihara hak khazanah alam, minyak dan gas Sabah. Persepsi dibina tanpa bukti sahih.
“Retorik dilantun bahawa merekalah pejuang tegar hak serta kepentingan negeri, dan sekarang bila tiba musim pilihan raya ini, saya bawa satu contoh perjuangan memelihara hak dan integriti sempadan negeri, iaitu isu penggubalan Akta Laut Wilayah 2012.
“Adakah beliau (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) bersuara di Parlimen dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada tahun 2012?, mengapa beliau tidak tegas membangkitkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang sama bila Kerajaan Persekutuan pada masa itu membentangkan RUU Laut Wilayah,” katanya.
Menurut Armizan, pada 22 Julai 2025 di Parlimen, Presiden Warisan itu nyata lantang semasa menyuara perkara yang menyentuh perubahan negeri dan katanya, perlu dipersetuju oleh Dewan Undangan Negeri Sabah, sambil memetik peruntukan Artikel 2 Perlembagaan Persekutuan.
“Memang hebat dan memang tepat, tapi sayang, di mana suara Shafie pada tahun 2012 ketika menjadi Ahli Parlimen dan Menteri Kanan Kabinet Persekutuan?
“RUU Laut Wilayah telah menjadi Akta Parlimen dan berkuat kuasa pada 22 Jun 2012 serta telah menetapkan had hak dan kuasa sempadan maritim Sabah kepada hanya jarak sehingga tiga batu nautika.
“Ia jelas mengubah sempadan asal maritim negeri sebagaimana yang termaktub dalam The North Borneo (Alteration of Boundaries) Order in Council, 1954,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.
Tambah Armizan yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Kerajaan Negeri dibawah kepimpinan GRS tegas dalam menyatakan pendirian, termasuk dizahirkan di Dewan Undangan Sabah (DUN) oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Sabah tidak menerima Akta Laut Wilayah 2012.
“Siapa terbukti tegas? Siapa terbukti gagal? Itulah pemimpin Warisan, Shafie yang cakap tidak serupa bikin.
“Sebagai perbandingan, kita telah membuktikan perjuangan kita ketika berkuasa dan tahun ini, hasil suara Kerajaan Negeri GRS bersama Pakatan Harapan (PH) di Sabah serta Kerajaan GPS di Sarawak, maka Kerajaan Persekutuan bersetuju dan kemudiannya diluluskan di Parlimen bahawa Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 hanya terpakai untuk Semenanjung Malaysia dan W.P Labuan, tidak di Sabah dan Sarawak,” ujar beliau lagi.
