Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun menegaskan bahawa tidak timbul isu pinjam-meminjam calon diantara parti dan gabungan kerjasama untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Sabah ke-17.
“Kami mahu calon kami (GRS) jadi calon dengan tiket dan logo GRS.
“Semua ini masih dalam perbincangan dan kami akan pertahankan, mesti tanding guna tiket GRS, logo GRS, tidak wujud idea pinjam-meminjam.
“Saya tegaskan, idea pinjam-meminjam ini tidak wajar sama sekali, tidak logik dan tidak patut berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sebuah sesi sidang media, selepas hadir mempengerusikan Mesyuarat Wanita GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang tadi.
Menurut Azizah, Wanita GRS fokus kepada kerja-kerja memperkasa jentera di semua peringkat dan berusaha untuk menambah keahlian sepanjang masa.
“Jentera wanita sahaja sekarang kita ada kekuatan sekitar 28 ribu orang dan kita yakin jumlah ini hari demi hari bertambah dan insyaAllah akan bertambah lagi.
“Untuk pengetahuan, kita sangat berbangga dengan semua ahli wanita kerana mereka sudah bekerja keras dari awal, tanpa perlu diarah, tanpa perlu disuruh.
“Inilah kelebihan jentera wanita, bekerja dengan sepenuh hati, telus dan gigih, kita akan terus bekerja untuk calon GRS di semua kawasan untuk memastikan kemenangan boleh terus berpihak kepada GRS, mudah-mudahan,” katanya lagi.
Selain itu, Azizah turut menjelaskan bahawa GRS telah menjalankan amanah sebagai pentadbir negeri dan menyampaikan mandat rakyat dengan membawa banyak perubahan.
“Apa yang tidak dibuat oleh kerajaan dahulu, dibuat oleh kerajaan GRS, ini bukan kisah dongeng, ini sudah terbukti, ini sudah berjalan.
“Untuk itu, saya sentiasa ingatkan semua jentera wanita agar fokus, bergerak terus ke hadapan dan galakkan rakyat diperingkat akar umbi untuk faham dan kenal usaha-usaha kerajaan GRS,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa wanita GRS turut memperjuangkan beberapa isu dan perkara untuk dijadikan fokus dalam manifesto kempen PRU Dewan Negeri Sabah ke-17 yang bakal berlangsung kelak.
“Semasa bermesyuarat tadi, kita semua berbincang beberapa perkara dan antaranya adalah intipati manifesto yang berkaitan dengan wanita dan kepentingan kepada kaum wanita.
“Selain itu, kita juga tetap dengan cadangan calon wanita yang sudah kita kemukakan sebelum ini dan mudah-mudahan pihak pimpinan tertinggi parti bersetuju,” katanya lagi.
