Jentera GRS siap sedia hadapi PRU Dewan Negeri Sabah: Pengerusi GRS

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyatakan pendirian dan kesiapsiagaan untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Sabah ke-17 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Hajiji semasa berucap ketika majlis pelancaran

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu bahawa pelancaran jentera pilihan raya bagi menghadapi PRU Dewan Negeri Sabah ke-17 adalah simbolik kepada kesiapsiagaan gabungan itu untuk terus memegang mandat rakyat menerajui pemerintahan negeri.

“Pelancaran jentera adalah langkah penting untuk kita memperkemas strategi dan memperkukuh gerak kerja parti di semua peringkat kerana dengan bermulanya langkah ini, jentera dapat bergerak semaksimumnya.

“Jentera adalah kekuatan kepada kempen dan jika semua bersatu hati, bergerak dengan efisyen, maka kita pasti mampu mencapai target kemenangan yang kita sasarkan, insyaAllah,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Jentera GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pagi tadi.

Kibaran bendera oleh penyokong GRS yang hadir semasa majlis pelancaran

Hajiji turut menyeru kesemua ahli GRS dan jentera untuk fokus dan kekal berjuang dengan semangat kesatuan dan kebersamaan demi kestabilan politik negeri.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga merupakan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut menyeru semua ahli dan jentera GRS untuk tidak berputus asa dan kecundang sebelum sampai di penghujung penamat perjuangan.

Rasmi, jentera GRS dilancarkan dengan kerjasama utuh dari semua parti komponen

“Jangan putus asa, terus berjuang dengan semangat tinggi demi kemenangan, perjuangan GRS mesti diteruskan dengan iltizam, kita mesti kekal dengan disiplin tinggi kerana kita mahu memastikan Sabah terus ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berkemampuan.

“Kita bersama hari ini bukan sebagai hadir dalam satu perhimpunan biasa, sebaliknya ini adalah medan penguat kepada kepimpinan dan penyokong kita.

“Ayuh, semua yang bersama saya di sini, teruskan bersemangat, satu hati, satu azam, satu tekad, kita mesti menang,” katanya lagi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Joachim Gunsalam, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fa, dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman.

Turut hadir sama lebih 20 ribu penyokong GRS terdiri daripada pimpinan tertinggi parti komponen dan ahli dari kesemua bahagian seluruh negeri Sabah.

Tinggalkan komen